Kedah ialah negeri yang menarik untuk diperhatikan menjelang PRU ke-14. Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah menawarkan sebanyak 36 kerusi. Semasa PRU-13 UMNO/BN menang sebanyak 20 dan pembangkang menang sebanyak 15 kerusi (PAS 9, PKR 4 dan DAP 2).

Hanya enam kerusi yang membezakan antara penguasaan UMNO/BN dan pembangkang.

Bulan lepas genaplah setahun UMNO Kedah menyaksikan kepemimpinan negeri dengan pertukaran Menteri Besar daripada Datuk Mukhriz Mahathir kepada Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Sebaik sahaja memegang jawatan sebagai Menteri Besar Kedah, Ahmad Bashah mengalami masalah kesihatan dan timbul cakap-cakap bahawa Kedah mungkin akan mengalami pertukaran Menteri Besar lagi pada masa akan datang.

Landskap politik Kedah menjelang PRU ke-14 tidak lagi sama sepeti PRU-PRU sebelum ini. Semenjak Mukhriz disingkirkan, Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Mukhriz sendiri mengambil keputusan menubuhkan PPBM.

Pada minggu lepas PPBM mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang berunding mengenai pembahagian kerusi bersama Pas. Dan berita itu tidak pula dinafikan oleh Pas.

Mungkin ada yang bertanya, adakah Pas akan menyerahkan kerusi yang mereka pernah bertanding kepada PPBM? Bukankah langkah tersebut merugikan Pas?

Satu formula yang akan dipakai oleh PPBM dalam proses tawar-menawar mengenai pembahagian kerusi dengan Pas ialah kerusi-kerusi DUN yang UMNO/BN menang besar (melebihi 2000 undi majoriti) diserahkan kepada PPBM, termasuk DUN Ayer Hitam yang kini disandang oleh Mukhriz Mahathir.

Pas merupakan parti yang praktikal apabila berhadapan dengan UMNO/BN dalam PRU. Pas Negeri Kedah sudah ketiadaan tokoh besar yang boleh diketengahkan untuk menyandang jawatan sebagai Menteri Besar.

Semasa era Azizan Razak, pemimpin pelapis Pas Kedah seperti Phahrolrazi Mohd Nawawi tersingkir dalam pergelutan kuasa dalaman dan kini bersama PAN. Pemimpin veteran yang lain seperti Taulan Rasul (Adun Tokai) telah berusia 76 tahun dan mungkin tidak bertanding lagi pada PRU akan datang.

Tokoh-tokoh Pas yang ada sekarang kebanyakkan terdiri daripada orang muda seperti Pesuruhjaya Pas Negeri iaitu Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi (46 tahun), Adun Sungai Limau iaitu Mohd Azam Abdul Samad (43 tahun) dan beberapa nama baharu lain yang masih belum dikenali secara lebih menyeluruh di Negeri Kedah.

Faktor ketiadaan pemimpin berpengalaman inilah menyebabkan Pas dilihat mungkin tidak memasang cita-cita untuk menguasai tampuk kepimpinan negeri Kedah. Langkah yang praktikal diambil oleh Pas ialah cuba mengurangkan kerusi yang dimenangi UMNO/BN.

Pada tahun ini, PAS pusat memilih Negeri Kedah sebagai lokasi Muktamar Pas kali ke-63 yang akan diadakan pada penghujung April ini. Muktamar itu bakal digunakan untuk menyuntik semangat juang kepada ahli-ahli Pas yang kelihatan masih belum pulih sepenuhnya daripada krisis dalam yang berlaku pada tahun-tahun kebelakangan dimana akarnya bermula di Negeri Kedah.

Muktamar ini juga akan menentukan secara muktamad sama ada Pas, PPBM dan PKR akan melakukan ‘pakatan elektoral’ melawan UMNO/BN atau tidak. – Sarawakvoice