Kisah penyanyi Ben disangka gila: Kini mahu tunai umrah, rakam lagu di Indonesia

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang popular dengan lagu Stanza Sepi Sekeping Hati Ben Nathan menyuarakan hasratnya mengerjakan umrah di Mekah.

Ben atau Ben Adam Abdullah, 54, sebelum itu berkata dia mahu ke Jakarta, Indonesia dahulu merakamkan lagu terbaharunya.

Media mStar melaporkan, Ben semasa muncul buat pertama kali dalam program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Wisma TV, Angkasapuri menceritakan tentang perkembangan terbaharunya.

“Lagu baharu ini nanti sebagai tanda kemunculan semula saya dalam bidang muzik dan hadiah kepada peminat yang sentiasa memberi sokongan,” kata Ben.

Ben muncul bersama-sama Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave.

Ben turut membuat persembahan secara unplugged bersama adiknya Bob Nathan pada rancangan tersebut menerusi lagu Stanza Sepi Sekeping Hati dan Tak Mungkin.

Ben hampir sebulan menerima rawatan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ben muncul dengan rambut pendek dan imej baru mengaku mendapat layanan baik HKL.

Sementara itu, individu yang bertanggungjawab membawa penyanyi tersebut menjalani rawatan kesihatan di HKL, Dave berkata, Ben menunjukkan perkembangan positif.

Ben mempunyai semangat kuat untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.

Memetik Bernama, pihak YA1M dengan kerjasama Jojo Events akan mengadakan majlis makan tengah hari serta konsert amal untuk mengutip dana bagi membantu Ben.

Majlis tersebut diadakan 21 Mei depan di Saloma Bistro.

“Dia sudah pulih 80 peratus dan masih menjalani rawatan di hospital. Di wad pun dia sangat aktif serta berkelakuan baik.”

Dave berkata perbualan negatif orang berkaitan Ben tidak benar dan Ben bukan penagih dadah.

YA1M akan membawa Ben Nathan ke Jakarta, Indonesia bagi menunaikan impiannya merakam kembali lagu hit beliau dan lagu baharu.

Awal tahun ini, video berkaitan Ben Nathan tular di laman sosial Facebook memaparkan penyanyi popular 80-an itu merayau-rayau tanpa tujuan di ibu negara. – Sarawakvoice