KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak, David Usop mengaku anak-anak buahnya hampir kecundang dek kerana kepanasan cuaca di Kangar, Perlis.

Pun begitu, mereka berjaya mengharungi detik getir itu seterus layak ke peringkat suku akhir Piala FA pada Sabtu lalu.

Menurutnya ketika petang semakin lewat pada babak kedua bertemu Perlis itu, anak-anak buahnya jelas keletihan.

“Bermain dalam keadaan terik dan kering menyebabkan mereka begitu cepat letih.

“Kita yang berada di luar padang lagikan terasa bahang, apatah lagi mereka yang beraksi di tengah padang,” katanya.

Sarawak akan bertemu Terengganu dalam aksi timbal balik peringkat suku akhir selepas mengecewakan Perlis 1-2.

Gol-gol Sarawak dijaringkan oleh Abdul Rahim Abdul Razak pada minit ke-26 dan Mark Hartmann pada minit ke-33, manakala Singa Utara memperoleh gol saguhati melalui Kyu-Bin-O pada minit ke-49.

Perlis kata David, memiliki kelebihan dalam aksi itu kerana mereka biasa dengan cuaca sebegitu, dan rutin beraksi pada sebelah petang.

“Ia berbeza dengan pemain-pemain kami. Kami bernasib baik kerana dapat bermain dengan baik dalam 45 minit pertama dan meledakkan dua gol.

“Separuh masa kedua begitu menyukarkan dan para pemain begitu jelas hilang tenaga dan kerap meminta air dari luar padang,” jelasnya lagi.

Sarawak akan bertemu Terengganu yang menewaskan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 31 Mac ini manakala pusingan kedua di Stadium Negeri pada 21 April.

David memberitahu, pasukannya kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada aksi piala ini dan akan mengukuhkan sentuhan penyudah yang sentiasa menjadi halangan.

“Kami lupakan sementara Liga Super. Ketika ini para pemain berada dalam kecergasan terbaik dan saya berharap mereka dapat memberi fokus untuk kita melangkah lebih jauh lagi,” katanya. – Sarawakvoice