PETALING JAYA: Bekas naib presiden Pas dan kini menyertai Parti Amanah Nasional (Amanah) Datuk Husam Musa menyokong 100 peratus usul Pas Tanah Merah supaya bekas pemimpin parti tersebut didakwa di mahkamah syariah kerana melanggar sumpah taklik dan baiah yang pernah dilafazkan.

Memetik FMT pada Ahad, Husam berkata, “kalau PAS bawa isu ini ke mahkamah syariah, yang pertama harus dibawa adalah Datuk Ibrahim Ali.

“Ini kerana Ibrahim Ali ada baiah pada 2008, kemudian dia keluar PAS, dan tidak lagi menjadi ahli Parlimen atas tiket PAS. Kemudian barulah yang lain-lain,” ujar Husam.

Bahkan, Husam berkata sebelum ini beliau pernah mengusul isu itu dalam ucapan di Pas Cawangan Klewek.

Husam bagaimanapun, berkata beliau tidak harus dikaitkan dengan lafaz taklik dan baiah kerana beliau tidak keluar daripada Pas, sebaliknya beliau dipecat oleh parti.

Harakahdaily melaporkan, perwakilan Pas Cawangan Klewek mendesak Pas Pusat atau Badan Perhubungan Pas Kelantan mengambil tindakan terhadap individu yang melanggar sumpah taklik dan baiah berkenaan.

Antara wakil rakyat yang dikaitkan dengan isu keluar Pas dan menyertai Amanah yang pernah bersumpah taklik serta baiah ialah Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Ahli Parlimen Kuala Kerai Dr Hatta Ramli.

Lafaz taklik dan baiah sebelum ini dikenakan ke atas ahli politik Pas ketika bersama Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah pada 1995.

Ketika itu kerajaan Kelantan berdepan cabaran ekoran tindakan beberapa wakil rakyat melompat parti. – Sarawakvoice