PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah Orang ramai tidak perlu panik berikutan kejadian kluster Influenza Like-Illness (ILI) yang dilaporkan di Perak.

Setakat ini, tiada trend luar biasa ILI dikesan di seluruh negara.

ILI merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selesema atau flu, sakit tekak, batuk dan gejala seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Bernama melaporkan kenyataan Noor Hisham bahawa demam selesema sangat mudah berjangkit dan menular di tempat padat seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan serta kem tentera dan polis.

Pelajar yang dijangkiti di asrama sekolah diasingkan daripada pelajar yang sihat, begitu juga pesakit tidak dibenar hadir sekolah atau masuk bekerja.

Dr Noor Hisham berkata kluster ILI yang dilaporkan sebelum ini berkaitan virus influenza bermusim antaranya Influenza A (H1N1), Influenza A (H3N2) dan Influenza B.

Wabak disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selesema ringan pada orang biasa.

Bahayanya virus ini menyebabkan jangkitan teruk seperti pneumonia kepada kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan pesakit kronik seperti kencing manis.

Menurut Noor Hisham, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Perak memantau rapi kejadian kluster ILI di lima sekolah di Perak.

Beliau turut menasihati mereka yang bergejala agar memakai penutup mulut dan hidung serta mendapatkan pelalian vaksin dari klinik. – Sarawakvoice