Tiba-tiba anak, isteri muncul semasa wawancara profesor politik Korea di TV

KUALA LUMPUR: Mungkin ada kaitan isu kontroversi pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un di Kuala Lumpur, mutakhir ini apa sahaja isu menarik perhatian berkaitan Korea Selatan dan Korea Utara segera menjadi viral seluruh global.

Sebuah rakaman video di Youtube, petikan daripada wawancara saluran televisyen BBC dengan pensyarah pakar politik Korea di Universiti Antarabangsa Pusan, Profesor Robert E. Kelly, mengusik rasa lucu 40 juta tontonan seluruh dunia dalam tempoh 24 jam ia dimuat naik.

Wawancara secara langsung melalui Skype dari kediaman pensyarah berkenaan di kediamannya di Korea Selatan membincangkan isu serius pemecatan Presiden Park Geun Hye yang didapati bersalah melakukan rasuah bertukar menjadi sebuah lelucon.

Ketika temu bual berlangsung terus ke kaca televisyen di rumah penonton BBC, salah seorang anak Robert berbaju kuning memakai cermin mata sambil bermain dan menari-nari riang di belakang Robert, memasuki bilik tidak berkunci itu.

“Saya rasa salah seorang anak awak baru saja masuk,” kata pemberita sambil menahan ketawa.

Anaknya itu cuba mengalih perhatian bapanya, tetapi cuba ditepis ayahnya secara profesional sambil dia cuba menyambung komentar dengan wajah serius.

Namun, beberapa saat berselang, seorang lagi anak Kelly berstroler bayi turut memasuki bilik berkenaan.

Situasi menjadi lebih lucu apabila isteri Kelly, Jung-a Kim, turut kelam-kabut dan tergesa-gesa cuba membawa keluar kedua-dua anaknya sebelum menutup pintu bilik tersebut.

Video tersebut dikongsi dan diviralkan oleh media lain termasuk CNN di televisyen serta disiarkan di media besar seperti New York Times serta netizen di media sosial.

Manisnya, rakaman tersebut dianggap sebagai sangat comel, normal dan menghiburkan oleh warga net. – Sarawakvoice