KOTA SAMARAHAN: Visi untuk Transformasi Nasional 2050 (TN50) negeri dan negara adalah sama, cuma Sarawak bertekad menggunakan pendekatan sendiri bagi melonjakkan aspirasi nasional ini.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, Sarawak sedia mengumumkan model pembiayaan baharu pada April ini bagi membolehkan Sarawak mendapat lebih banyak sumber kewangan dan modal.

Menurut beliau Kerajaan Pusat perlu membantu kerajaan Sarawak berhubung peruntukan, namun Sarawak masih memerlukan pendekatannya sendiri.

“Saya perlu mencari model baharu (untuk Sarawak), kita tidak boleh bergantung kepada Kuala Lumpur sahaja,” kata Abang Johari dan menurut beliau model pembiayaan baharu sudah dimaklumkannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bercakap selepas sesi Dialog TN50 sempena Siri Jelajah TN50 di Arena Gemilang, Unimas pada Sabtu, Abang Johari mengaku Najib menyokong usaha atau model pembiayaan baharu yang bakal beliau umumkan itu.

Abang Johari berkata, Kerajaan negeri bersedia memperuntukkan RM1 bilion bagi naik taraf kemudahan ICT untuk memudahkan rakyat menikmati dan menguasai teknologi masa kini.

“Teknologi itu penting, sebab itu saya mahu menaik taraf kemudahan ICT agar kita dapat pergi lebih jauh,” kata Abang Johari selepas dialog bersama Ketua Menteri dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi berkata dengan pengambilalihan Empangan Hidroelektrik Bakun, Sarawak mampu menikmati sumber tenaga elektrik murah untuk rumah dan industri.

Bahkan, Sarawak menjadi pembekal tenaga penting di Kepulauan Borneo termasuk menyalurkannya ke Kalimantan, Indonesia.

“Kita menjual tenaga kepada Kalimantan, Indonesia dan mereka perlu meningkatkan grid kuasa.

“Projek grid kuasa itu akan dibiayai oleh Asian Development Bank (ADB),” ujar Abang Johari.

Pada masa sama menurut Abang Johari Sarawak perlu memiliki teknologi menghasilkan tenaga solar dan mempertingkat prasarana pendidikan serta kemudahan asas yang lain. – Sarawakvoice