Pendidikan anak Bumiputera, Melayu dan Orang Asli terus terbela — Najib

BERA: Kedudukan anak Bumiputera Sabah dan Sarawak dan Melayu serta Orang Asli lebih baik berkat perjuangan Barisan Nasional (BN) bertunjangkan UMNO yang sentiasa membawa perubahan di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kuasa yang ada pada BN membolehkan Bumiputera dan Melayu di negara ini menikmati kehidupan lebih baik termasuk dalam bidang pendidikan.

Beliau menyifatkan Program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2017 bukti jelas kerajaan mengambil berat pendidikan anak Melayu dan Bumiputera terutama dari kalangan mereka yang kurang berkemampuan.

Memetik Bernama, Najib berkata, “kalau pihak pembangkang yang ditunjangi DAP, jangan harap ada program seperti ini akan dilaksanakan.”

Bercakap melancarkan program JPB 2017 dihadiri sekitar 15,000 hadirin di Padang Majlis Daerah Bera pada Sabtu, Najib berkata program JPB memberi peluang kepada anak Bumiputera dan Melayu daripada golongan miskin B40 memperoleh peluang kedua mengubah masa depan mereka menerusi pendidikan.

Program JPB yang diadakan sejak 2016 berjaya membantu 37,324 pelajar Bumiputera dan Melayu menempatkan diri di institusi pengajian tinggi di negara ini.

Daripada jumlah itu, 20,370 permohonan yang layak dikenal pasti dan diterima.

Sementara, 16,954 orang pelajar lagi menerima surat tawaran terus daripada 11 institusi pendidikan yang terlibat dalam program JPB.

Program JPB 2016 diadakan tiga bulan pada Mac-Mei di 55 kawasan parlimen seluruh negara.

Najib berharap, program JPB 2017 kali ini dapat memberi peluang kepada 50,000 pelajar lagi melanjutkan pengajian bukan di IPT awam serta kolej kemahiran, pusat pengajian berasaskan pendidikan teknikal dan latihan vokasional.

Sejak Dasar Transformasi Nasional diperkenalkan, jumlah penyertaan Bumiputera berpendidikan tinggi dalam bidang pekerjaan meningkat daripada 1.89 juta orang kepada 2.64 juta iaitu daripada 27.7 peratus kepada 32.3 pada 2011-2015.

Memetik Bernama Najib berkata, pelajar Bumiputera turut dibantu menerusi Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dengan 5,659 pelajar mndapat bantuan pada 2012-2015.

Seramai 39,243 pelajar menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam.

Sementara, Majlis Amanah Rakyat (Mara) membantu 353,817 pelajar 2011-2015.

Kerajaan menyasar mempunyai 250,000 pelajar menjelang 2020.

Perdana Menteri turut mengumumkan Bank Rakyat menyumbang RM3 juta kepada 2,000 orang miskin yang mempunyai kelulusan minimum untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Pelajar yang layak akan menerima peruntukan RM1,500 seorang. – Sarawakvoice