KUALA LUMPUR: Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos sentiasa mempunyai idea bagaimana untuk mencetuskan kontroversi dan menarik perhatian media.

Media juga serononok dengan pendedahan beliau yang juga dikenali sebagai Jamal Baju Merah.

Hari ini Jamal berkata,  dalam masa terdekat beliau akan membuat pendedahan terbaharu berkaitan skandal RM30 bilion membabitkan kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Harapan dengan tujuan sebagai dana untuk PRU-14 .

Ujarnya, pendedahan  itu penting  bagi memastikan duit kerajaan Selangor tidak disalahgunakan untuk tujuan tidak baik dan untuk tujuan peribadi golongan tertentu.

Ketua Umno Sungai Besar  itu seperti selalu, sekali lagi mendakwa memiliki bukti untuk meyokong dakwaannya itu.

“Saya ada bukti bagaimana mereka laksanakan projek, iaitu melalui projek tak telus, melalui kroni untuk dapatkan dana berjumlah sebesar itu bagi tujuan tersebut,” dakwanya di hadapan pemberita di Kelab Veteran Komando Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Jamal mendakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengetahui mengenai dana tersebut.

Katanya, beliau akan menyerahkan bukti berkaitan skandal RM30 bilion kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Azmin tahu pasal RM30 bilion… saya belum hantar lagi, tetapi saya berharap agar siasatan segera dilakukan selepas pendedahan saya,” ujarnya.

“Rakyat Selangor perlu tahu mengenai perkara ini,” tegasnya.

Jamal sebelum itu menerima watikah Ahli Kehormat Kelab Veteran Komando Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur oleh Datuk Mohd Ali Shamsuddin di Rumah kelab itu di Jalan Kelantan, di sini. – Sarawakvoice