KOTA SAMARAHAN: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yakin aspirasi berkaitan teknologi yang dilontarkan belia Sarawak semasa sesi dialog TN50 memberi isyarat jelas bahawa negeri ini menghasilkan perubahan amat besar dalam tempoh 30 tahun lagi.

Menurut Khairy belia Sarawak mempunyai aspirasi yang sangat tinggi untuk pembangunan negeri ini dan Malaysia khususnya membabitkan penggunaan teknologi.

“Walaupun mungkin di Sarawak masih lagi ada kekurangan dari segi prasarana dan kemudahan asas, bukan hanya Ketua Menteri malah anak muda Sarawak semuanya menceritakan soal teknologi,” kata Khairy.

Bercakap pada sidang media selepas sesi dialog Transformasi Nasional 50 (TN50) bersama belia Sarawak, Khairy berkata, rata-rata peserta melahirkan harapan agar wujud pembangunan yang seimbang antara Sarawak dengan Semenanjung.

Bagaimanapun pada dialog TN50 yang turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berlangsung di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada Sabtu itu, yang paling menarik perhatian beliau ialah aspirasi yang dilontarkan berkaitan penggunaan teknologi.

Sementara Khairy berkata, untuk program seluruh negara TN50, para belia telah melontarkan isu hampir sama membabitkan pekerjaan, pendidikan, teknologi dan kesihatan serta isu lain yang pelbagai merangkumi pelbagai sektor. – Sarawakvoice