Istilah persona non grata berkumandang apabila isu krisis diplomatik Korea Utara-Malaysia berlaku baru-baru ini.  Istilah  tersebut berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud ‘orang yang tidak dialu-alukan’ atau ‘tidak diingini’ oleh sesebuah negara apabila merujuk kepada situasi tegang dalam politik antarabangsa.

Apabila  seseorang itu diistiharkan  sebagai persona non grata, maka  seseorang tidak boleh hadir di negara tersebut, sekiranya hadir maka akan diusir  keluar  atau dikembalikan ke negara asal.

Terdapat banyak punca yang membawa kepada  pengistiharan dan ini termasuklah apabila disyaki melakukan pengintipan, aktiviti jenayah seperti pembunuhan, penyeludupan, aktiviti tidak selaras status diplomatik atau apa-apa perbuatan atau perlakuan yang memberikan kesan negatif kepada negara  tempat berada atau dikunjungi.

Pengistiharan  atau pemberian status  persona non grata adalah hak mutlak mana-mana negara dan boleh dikenakan  pada bila-bila masa tanpa perlu memberikan penjelasan terhadap keputusan ini.  Langkah pengistiharan ini  sesuai dan tertakluk di bawah Artikel 9 Konvenseyen Vienna berkenaan hubungan diplomatik.

Langkah  pemberian status  ini sebenarnya  merupakan lambang ketidakselesaan atau persetujuan sesebuah negara dalam  isu atau hal-hal tertentu khususnya berkaitan  kepentingan strategik negara hinggalah ke isu diplomatik.  Situasi ini juga menggambarkan  kebuntuan hubungan diplomatik sesebuah negara.

Persona Non Grata  berleluasa

Malaysia bukanlah pertama kali berdepan dengan isu persona non grata. Pada tahun 2009 Duta Malaysia pernah diusir oleh negara Serbia dan distiharkan sebagai persona non grata kerana Malaysia menyokong kemerdekaan Kosovo.

Presiden Bolovia pernah mengistiharkan duta Amerika di Bolivia sebagai persona non grata kerana  kerajaan Amerika Syarikat disyaki berkonspirasi untuk menentang kerajaan Bolivia.

Pada penghujung 2016,  terdapat 35 orang  diplomat Russia diistiharkan sebagai persona non grata oleh kerajaan Amerika Syarikat kerana Kremlin didakwa campur tangan  dalam pemilihan Presiden Amerika.

Situasi Malaysia

Malaysia pula telah mengistiharkan duta Korea Utara sebagai persona non grata kerana gagal hadir di Kementerian Luar Negeri di Putrajaya  untuk membantu siasatan kes pembunuhan ahli keluarga presiden Korea Utara.

Namun ini bukanlah bermakna hubungan Malaysia-Korea Utara sangat tegang dan boleh mencetuskan perang.  Turki dan Mesir masih mempunyai hubungan baik meskipun Duta Turki di Mesir telah diusir dan diberikan status persona non grata kerana Perdana Menteri Turki telah mengkritik  penghukuman terhadap Morsi.  Sebelum menjadi presiden Amerika, Donald Trump pernah disenaraikan sebagai persona non grata kerana  mengkritik kerajaan Panama sebagai ‘dungu’.

Ternyata ia hanyalah mengalami kebuntuan diplomatik yang bersifat sementara sahaja dan tak tertakluk kepada tempoh tertentu. Ia juga bergantung kepada komitmen kedua-dua kerajaan ini untuk memulihkan hubungan diplomatik.

Seseorang  itu diberikan status person non grata apabila sesebuah negara tersebut  berasa dikritik, tidak memberikan kerjasama dan melakukan apa-apa perkara yang bertentangan dengan  dasar negara, atau mengkritik kerajaan.

Pengistiharan status persona non grata boleh merumitkan hubungan diplomatik, akan tetapi  ia tidaklah membawa ke peringkat seperti peperangan.  Hal ini dapat dilihat apabila hubungan Amerika Syarikat dan Russia beransur baik  meskipun 35 diplomat Russia telah diusir keluar oleh pihak Amerika Syarikat.

Status Hubungan Malaysia-Korea Utara

Hubungan kedua-dua negara ini memasuki 44 tahun, iaitu sejak 30 Jun 1973. Hal ini sesuai dengan dasar berkecuali Malaysia yang boleh menjalinkan hubungan dengan mana-mana negara. Dalam konteks negara di Asia Tenggara, Malaysia merupakan negara pertama menjalinkan hubungan dengan Korea Utara.

Namun kedutaan di kedua-dua negara ini dibuka sejak tahun 2003 seiring dengan Malaysia  membuka kedutaan di Pyongyang. Malah pada tahun 2013 universiti swasta Malaysia  pernah menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat  kepada Kim Jong Nam iaitu presiden Korea Utara.

Malah di pasar raya di Korea Utara terdapat makanan seperti mee maggi, biskut Julie, Milo buatan Malaysia, minyak kelapa sawit dan  pelbagai jenis keropok buatan Malaysia. Taxi Korea Utara diperbuat  oleh syarikat Proton. Malaysia juga terbabit  sebagai  penghubung dalam rundingan sulit  Amerika, Korea Selatan dengan Korea utara dalam isu nuklear pada awal tahun 2000. Hal ini menunjukkan  sukar memisahkan hubungan baik Korea Utara dan Malaysia.

Malah terdapat ratusan pekerja Korea Utara bekerja di Sarawak hasil daripada hubungan ini dan satu-satunya negeri di Malaysia yang mendapat keistimewaan hasil hubungan baik baik negeri Sarawak mahupun Malaysia. Tanpa pengesahan dari Putrajaya mustahil Sarawak boleh mengambil pekerja Korea Utara kerana hal ini berkaitan  dan boleh membabitkan ancaman keselamatan.

Situasi ini pernah mencemaskan negara Amerika Syarikat dan Bangsa-Bangsa Bersatu. Hal ini pernah dilihat dalam konteks amaran, arahan dan risikan berterusan negara dan badan tersebut terhadap aktiviti pihak negara Korea Utara di Malaysia.  

Namun atas dasar sebagai Negara Berkecuali maka Malaysia terus menikmati hubungan baik dan bermanfaat dari segi perdagangan meskipun jumlahnya tidaklah terlalu besar berbanding  perdagangan dengan negara-negara lain di dunia.

Adakah isu pembunuhan ini dan ketegangan diplomatik ini akan  menjadikan kepimpinan negara menjarakkan hubungan yang baik ini? Banyak juga negara di Asia Tenggara menjalinkan hubungan secara langsung dan tidak langsung dengan Korea Utara.  

Namun berdasarkan situasi yang berlaku di Malaysia, kepimpinan negara perlu mempertimbangkan dan menilai semula hubungan yang sudah terjalin ini agar tidak terjebak dengan kancah yang boleh menjejaskan nama baik Malaysia dari segi jangka panjang.

Pada masa yang sama misi menghantar utusan secara tidak rasmi  ke Korea Utara bagi menangani krisis diplomatik perlu dibuat secara belakang tabir sebagaimana pernah dilakukan oleh Amerika Syarikat.  

Pastinya, Korea Utara akan mengingati hubungan baik selama 44 tahun sebelum membuat apa-apa yang boleh memburukkan  lagi situasi semasa politik antarabangsa. – Sarawakvoice