KUALA LUMPUR: “Mengapa Pas tidak meninggalkan sahaja perjuangan melalui pilihan raya dan menjadi jemaah tabligh atau tarekat sufisme sahaja?” persoal Ahli Parlimen Dap Zairil Khir Johari memetik laporan Malaymail.

Zairil mempertikai sikap pemimpin Pas mutakhir yang dikatakan tidak mementingkan kemenangan dalam pilihan raya sebagai strategi untuk berpolitik.

Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata, parti politik jalannya mengubah dasar negara ke arah lebih insani, manusiawi dan adil kepada semua.

“Jika Pas tidak lagi memiliki wawasan ini, maka apa gunanya menggelar diri sebagai parti politik?” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan Malaymail pada Jumaat.

Zairil mendakwa kepimpinan PAS seolah-olah bersedia mengorbankan prinsip amar makruf dan nahi mungkar yang diperjuangkan sebelum ini demi berkerjasama dengan Umno.

Beliau turut mencurigai keikhlasan Pas yang didakwanya pantas membela Umno dan menganggap bukan hak seseorang mengukur keikhlasan orang lain.

Zairil bertanya, “Adakah Hadi terlalu naif atau tidak mahu mengiktiraf realiti?”

Bagi Zairil, sememangnya bukan hak seseorang menilai keikhlasan orang lain tetapi menurutnya keikhlasan dapat dinilai berdasarkan sikap seseorang itu. – Sarawakvoice