PUTRAJAYA: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 akan mendapat keputusan peperiksaan pada Khamis minggu depan di sekolah masing-masing selepas 10 pagi.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata calon turut boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPM 2016 melalui mySMS 15888.

Perkhidmatan tersebut diaktifkan bermula 10 pagi pada 16 Mac dan ditamatkan pada 6 petang 22 Mac.

Memetik Bernama, KPM turut memaklunkan bahawa bagi calon persendirian keputusan SPM mereka dihantar melalui pos.

Calon persendirian juga boleh mendapatkan keputusan SPM masing-masing dengan menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar untuk menduduki SPM dahulu.

Pada 2016, seramai 434,535 calon mendaftar menduduki SPM di 3,732 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Seramai 377,194 orang merupakan calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Sementara seramai 9,094 merupakan calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM seperti Maktab Rendah Sains Mara.

Seramai 7,931 calon dari sekolah agama negeri.

Manakala 12,847 calon dari sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM dan seramai 25,713 merupakan calon persendirian.

Seramai 1,756 orang pula merupakan calon dari Sekolah Menengah Agama Rakyat. – Sarawakvoice