MIRI: Hakim Lee Heng Cheong pada Khamis, mengambil keputusan mengundur diri daripada meneruskan pendengaran kes tanah hak adat (NCR) Kampung Haji Wahed.

Tindakan beliau disambut baik oleh penuntut tanah NCR demi menjaga integriti dan maruah sistem kehakiman yang diamalkan di negara ini.

Hakim baharu bakal mengendalikan kes tersebut pada tarikh lain. Tarikh perbicaraan akan ditetapkan semula kemudian.

Kes ini telah mengambil masa lebih empat tahun tanpa sebarang penyelesaian. Semua pihak yang terlibat mengharapkan kes ini dapat diselesaikan secara adil dan telus oleh hakim yang baharu nanti agar semua pihak yang terlibat dapat menerima keputusan dengan baik.

Pihak plaintif yang sentiasa mendoakan agar kes ini dapat diselesaikan secara adil sentiasa hadir semasa sesi perbicaraan diadakan.

Mereka sangat berharap agar kes ini ditangani secara telus kerana selama ini banyak tanah hak adat mereka telah diceroboh oleh pihak-pihak pemaju tanpa pampasan yang sewajarnya.

Mereka mahu tanah hak adat datuk nenek moyang mereka dikembalikan semula agar mereka dapat mengerjakan tapak untuk bercucuk tanam dan membina tempat kediaman mereka dengan selamat.

PAS mengesa pihak pemerintah agar dapat memberi perhatian dan tindakan sewajar terhadap isu yang dihadapi oleh penduduk asal ini agar dapat diselesaikan secara adil dan saksama.

* Jofri Jaraiee merupakan Pesuruhjaya PAS Sarawak