KUCHING: Sarawak mempunyai dua pelabuhan laut iaitu Pelabuhan Bintulu dan Pelabuhan Samalaju.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata Sarawak menghadapi masalah mencari pelabuhan laut ketiga di Kuching kerana masalah dasarnya yang cetek dan bergelodak.

Hal ini menyebabkan pembinaannya memerlukan kos besar dan banyak kerja mengorek terpaksa dilakukan secara berterusan agar kapal besar dapat memasukinya dengan mudah.

Bagaimanapun, kini pihaknya mengenal pasti dan mendapati Tanjong Po sesuai sebagai alternatif kerana kedudukannya yang terletak di luar Taman Negara Bako yang mempunyai kedalaman semula jadi 10 meter dan paling penting kedudukannya yang mesra alam.

Menurut laporan Sarawakiana pada Jumaat yang memetik sumber asal Utusan Borneo, bahawa Tanjong Po mempunyai banyak potensi termasuk menjadi tempat pelabuhan laut di Kuching.

Selain itu, Tanjong Po menarik dinilai dari segi aspek industri dan pelancongan serta tidak perlu senggara mengorek yang kerap, selain berdekatan laluan perkapalan utama di pelabuhan Senari.

Masing merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan mengakui beliau sudah melihat persekitaran Tanjong Po dan tertarik dengan persekitarannya yang rata dan luas menghadap laut lepas.

Setakat ini, kementerian terbabit diperuntukkan RM360 juta mengorek Sungai Sarawak untuk mengekal kedalamannya bagi tempoh 3-5 tahun bertujuan memudahkan kapal besar memasuki Pelabuhan Senari.

Menurut Masing, beliau sedia membuat kajian lanjut dan akan menganggarkan kos bagi pembinaan pelabuhan laut di Tanjong Po berkenaan. – Sarawakvoice