KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan membuat ketetapan bahawa basikal yang telah diubah suai tidak akan lagi dibenarkan digunakan di laluan-laluan lebuh raya di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan, keputusan tersebut dibuat susulan insiden lapan penunggang basikal maut dirempuh kereta di Johor Bharu pada 18 Februari lalu.
Katanya, penguatkuasaan akan ditingkatkan bagi memastikan jalan-jalan raya untuk kenderaan bermotor lebih selamat, dengan basikal yang diubah suai diharamkan menggunakan laluan lebuh raya.

“Lebuh raya merupakan laluan tiga lorong dan ini menyebabkan kenderaan dipandu laju yang boleh mengakibatkan kemalangan,” jelasnya menjawab soalan Datuk Normala Abdul Samad (Pasir Gudang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Berkaitan pemandu yang memandu secara melulu hingga membahayakan orang ramai dan menyebabkan kematian; mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mereka katanya, bakal berhadapan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun, selain denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000 apabila sabit di mahkamah.

“Pesalah juga hilang kelayakan mendapat lesen memandu selama tidak kurang tiga tahun dari tarikh sabitan dan hilang kelayakan selama tempoh 10 tahun sekiranya disabitkan kesalahan untuk kali kedua dan seterusnya.”

Kes kemalangan maut di Jalan Lingkaran Dalam, Johor, itu katanya, masih dalam siasatan polis. – Sarawakvoice