KUCHING: Manifestasi hubungan erat antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri ketika ini merealisasikan kepada kejayaan rundingan melibatkan pengambilalihan sepenuhnya hak milik Empangan Hidroelektrik Bakun kepada Sarawak.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof  merangkap Ketua Pemuda Barisan Nasional Sarawak memuji jalan kesefahaman yang berjaya dirunding di antara Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rundingan tersebut berjaya meletakkan Sarawak sebagai hab tenaga di rantau ini.

Empangan Hidroelektrik Bakun bakal memberi manfaat besar kepada pembangunan dalam negeri apabila tenaga elektrik murah dapat digunakan untuk memacu projek dalam negeri.

Selain itu, tenaga kuasa ini memberi manfaat untuk ekonomi negeri apabila ia dapat dijual keluar dan menguntungkan rakyat apabila harga caj elektrik diturunkan.

Abang Johari mengumumkan Kerajaan Negeri mencapai persetujuan pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti Sarawak Hydro Sdn Bhd (SHSB), pemilik dan operator Empangan Hidro Elektrik (HEP) Bakun daripada Kerajaan Pusat.

Syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, Sarawak Energy Berhad (SEB) akan mengambil alih HEP Bakun.

Fadillah selaku Pemuda BN Sarawak berikrar berdiri teguh di belakang kepemimpinan Kerajaan Pusat pimpinan Najib dan Kerajaan Negeri pimpinan Abang Johari.

Fadillah menyifatkan Najib benar-benar ikhlas dan bersikap terbuka membantu membangunkan Sarawak.

Najib terkenal sebagai Perdana Menteri paling kerap turun padang ke Sarawak.

Bahkan, Najib banyak menyalurkan peruntukan besar untuk membangunkan negeri Sarawak. – Sarawakvoice