Konflik dengan Korea Utara: Rakyat perlu bersatu pertahan kedaulatan negara

KUALA LUMPUR: Pas menyeru rakyat Malaysia bersatu padu mempertahankan kedaulatan negara dalam menghadapi kebiadapan Korea Utara.

Timbalan presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berharap rakyat Malaysia bersama-sama memberi keprihatinan kepada ahli-ahli keluarga mangsa yang dijadikan tebusan dan memberi sokongan untuk menyelesaikan kemelut ini.

“Sikap tidak hormat kepada negara lain dan bertindak di luar peraturan antarabangsa oleh Korea Utara bukanlah perkara baru. Dan perlu diingat, bukan Malaysia yang mencipta krisis ini ekoran kematian Kim Jong Nam,” katanya dalam satu kenyataan.

Oleh itu,  tambah beliau, ketegasan kerajaan terhadap provokasi daripada kerajaan Korea Utara demi mempertahankan kedaulatan negara dan mengutamakan soal keselamatan rakyat adalah satu tindakan yang tepat.

Katanya, untuk menyelesaikan kemelut ini pada kadar segera, Pas  menyarankan agar kerajaan tidak berlengah untuk menggunakan pihak ketiga bagi meredakan keadaan.

Korea Utara telah tidak membenarkan kakitangan dan ahli keluarga kedutaan Malaysia di Pyongyang keluar dari negara itu dua hari lalu, dan sebagai tindak balas, Malaysia mengambil tindakan yang sama terhadap rakyat dan kakitangan kedutaan Korea Utara di negara ini.

“Memandangkan ekonomi Korea Utara amat bergantung pada negara China, negara China menjadi pilihan terbaik sebagai perantara dan perunding bagi membebaskan rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara dan Malaysia perlu memberi jaminan yang sama kepada Korea Utara,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, hubungan baik Malaysia dengan China susulan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu dimanfaatkan sepenuhnya waktu ini sementara penyiasatan polis terhadap kematian Kim Jong Nam dapat diteruskan dan diselesaikan segera mengikut undang-undang negara.

“Insya Allah, pendekatan diplomasi ini akan membawa kepada penyelesaian yang aman,” katanya. – Sarawakvoice