Krisis dengan Korea Utara: Rakyat Malaysia perlu bersatu pertahan kedaulatan negara

KUALA LUMPUR:  Rakyat Malaysia diseru supaya bersatu hati mempertahankan kedaulatan negara ketika berdepan dengan krisis hubungan diplomatik yang meruncing antara Malaysia dengan Korea Utara ketika ini ekoran kes pembunuhan abang tiri pemimpin negara itu, Kim Jong Nam.

Pengarah Pemikir Kaum Muda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Ahmad Anwar Asyraf dalam satu kenyataan   berharap agar rakyat Malaysia bersama-sama  menjadi benteng mempertahankan kedaulatan negara.

“Ayuh, kita doakan keselamatan saudara-saudara kita yang menjadi tebusan rejim Pyongyang. Kita perlu berganding bahu bersama Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan tegas menyelamatkan rakyat Malaysia di sana,” katanya.

Ujarnya lagi, maruah kedaulatan Malaysia sedang dicabar, jadi rakyat tanpa mengira perbezaan ideolog politik perlu berdiri bersama-sama pertahankan negara Malaysia.

Dalam pada itu, beliau menggesa agar kerajaan bersikap lebih tegas dalam menghadapi kemelut diplomatik sekarang.

“Cukuplah menjadikan Malaysia bahan tawa dunia dengan kelemahan risikan dan keselamatan negara. Rakyat juga perlu berani untuk memastikan Kerajaan Persekutuan bercakap benar dalam isu ini,”‘ ujarnya.

Hubungan  diplomatik Malaysia-Korea Utara  kian meruncing apabila Pyongyang menyekat rakyat Malaysia daripada keluar dari Korea Utara.

Seramai 11 orang warga Malaysia  terdiri daripada tiga orang kakitangan kedutaan Malaysia, dua daripadanya individu yang bekerja dengan World Food Programme di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  dan selebihnya ialah ahli keluarga mereka.

Difahamkan mereka berada dalam keadaan selamat dan tiada sebarang ancaman diterima oleh mereka di sana meskipun ahli keluarga di negara ini risau tentang mereka.

Sebagai tindak balas, Malaysia turut menyekat kakitangan dan rakyat Korea Utara daripada keluar dari negara ini.

“Selama bertahun-tahun, Korea Utara telah menikmati banyak kebebasan apabila menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia,” kata Ahmad Anwar.

Katanya: “Rakyat mereka diberikan kebebasan untuk melawat, bekerja dan tinggal di Malaysia. Walaupun Korea Utara dianggap ‘jahat’ oleh sebahagian besar dunia hari ini tetapi Malaysia tetap menjalin hubungan dan memberikan keistimewaan kepada Korea Utara atas pertimbangan ekonomi dan sebagainya.”

Ujarnya lagi, rakyat  perlu sedar bahawa selain hubungan diplomatik dengan Korea Utara, Malaysia juga mempunyai hubungan perdagangan dengan negara itu. – Sarawakvoice