Keputusan tidak bermain di Pyongyang disambut baik pelbagai pihak

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan melarang skuad bola sepak kebangsaan ke Pyongyang, Korea Utara bagi aksi pusingan kelayakan Piala Asia 2019 bertemu negara itu pada 28 Mac ini, mendapat reaksi positif pelbagai pihak.

Pengkritik sukan dan sejarawan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berpendapat Malaysia membuat keputusan yang wajar untuk tidak bermain di Pyongyang.

Beliau berkata permohonan mengadakan perlawanan antara Malaysia dan Korea Utara di gelanggang berkecuali atas faktor keselamatan adalah amat tepat.

“Memang patut. AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) yang mengendali perlawanan itu perlu memberi pertimbangan sewajarnya demi kebaikan kedua-dua pasukan.

“AFC semestinya faham keadaan ini sangat berbahaya. Kita tak tahu bagaimana perasaan Korea Utara sekarang ini. Kita tak tahu apa akan terjadi jika skuad negara pergi ke sana,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata Malaysia harus sentiasa menggunakan kebijaksanaan membuat keputusan dalam apa jua situasi.

Kerajaan bersetuju supaya skuad Harimau Malaysia tidak mengambil bahagian untuk perlawanan di Pyongyang atas faktor keselamatan.

Bekas bintang bola sepak kebangsaan, Khalid Ali berkata keputusan itu membuktikan kerajaan mengutamakan keselamatan pemain dan rakyat Malaysia.

“Atas faktor keselamatan, lebih baik kita ambil keputusan tengah-tengah. Situasi di sana berbeza di mana mereka (Korea Utara) mungkin masih dalam kemarahan,” katanya.

Mohamed Khairi Mustafa, 32, dari Petaling Jaya berkata lebih baik Malaysia mengambil langkah selamat untuk tidak bermain di Pyongyang.

“Apa yang penting adalah keselamatan pemain. Tidak patut memperjudikan keselamatan mereka dengan situasi sekarang. Kita tidak tahu sikap dan tindak-tanduk rakyat Korea Utara walaupun kita mempunyai niat baik,” katanya.

Suri rumah Aini Natrah Majid, 41, dari Johor Bahru berkata ia sememangnya risiko yang tinggi seandainya membenarkan skuad negara bermain di Korea Utara ketika ini kerana ada kemungkinan berlakunya provokasi oleh penyokong negara itu.

“Takut akan berlaku rusuhan oleh penyokong Korea Utara. Banyak perkara buruk boleh berlaku kerana kita tidak tahu bagaimana penerimaan mereka,” katanya.

Hubungan Kuala Lumpur-Pyongyang ketika ini ‘agak tegang’ selepas Malaysia mengusir Duta Korea Utara, Kang Chol manakala negara itu juga mengambil tindakan yang sama terhadap Duta Malaysia di sana.

Pyongyang turut melarang rakyat Malaysia yang berada di sana daripada meninggalkan negara itu pada Selasa, dan Kuala Lumpur bertindak balas dengan mengambil tindakan sama terhadap rakyat Korea Utara di negara ini.

Malaysia mengambil tindakan pengusiran itu susulan tuduhan dan kecaman tidak berasas Kang Chol terhadap negara ini berhubung siasatan kes pembunuhan Kim Chol yang dilaporkan secara meluas oleh media sebagai Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Jong-nam dikatakan dibunuh dengan menggunakan agen saraf VX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb lepas sebelum sempat berlepas ke Macau. Bernama