Hubungan diplimatik antara Malaysia-Korea Utara kini berada pada paras terendah dalam tempoh 40 tahun.

Segalanya berpunca daripada tindakan dan kenyataan Korea Utara, terutama dutanya yang melemparkan tuduhan terhadap Malaysia dalam menangani kes pembunuhan Kim Jong-nam.

Selepas tempoh 48 jam diberikan kepada Duta Besar Korea Utara, Kang Chol, akhirnya dia meninggalkan bangunan kedutaan itu sekitar jam 3.50 petang semalam dengan diiringi anggota polis.

Kang Chol yang diisytiharkan sebagai pesona non grata  dan perlu meninggalkan negara ini.

Dalam tindakan balas segera Pyongyang pula menyingkirkan duta Malaysia ke negara itu.

Korea Utara semalam memerintahkan Duta Besar Malaysia, Mohamad Nizan Mohamad agar meninggalkan negara itu dalam tempoh 48 jam bermula hari ini.

KCNA dilaporkan berkata, Korea Utara melabelkan Mohamad Nizan sebagai ‘persona non grata’.

“Persona non grata” bermaksud “orang yang tidak dihargai,” dan seseorang yang telah diisytiharkan sedemikian dilarang masuk atau terus berada di sesebuah negara.

Kang Chol menaiki pesawat menuju Beijing, China pada 6:40 petang  semalam.

Wartawan yang menunggu di hadapan bangunan kedutaan cuba menghampiri, namun kenderaan yang dinaiki Kang Chol memecut ketika didekati.

Kerajaan Malaysia  mengambil tindakan tegas apabila Kang Chol gagal menghadirkan diri pada Sabtu lalu di Wisma Putra.

Beliau dipanggil untuk diminta memberi keterangan berkaitan dengan kenyataannya yang menuduh Malaysia bersekongkol dengan musuh-musuh Korea Utara dalam mengendalikan kes pembunuhan warga Korea Utara, Jong-nam pada 13 Februari lalu.

Malaysia telah menarik semula status visa percuma untuk warga Korea Utara yang mahu melancong ke sini.

Pada 13 Februari lalu, warga abang tiri pemimpin utama Korea Utara Jong-nam  diracun di Lapangan KLIA2.

Sejak itu seorang wanita warga Indonesia dan warga Vietnam telah ditahan kerana didakwa terbabit dalam kes berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, keputusan kerajaan Malaysia mengusir Kang Chol dibuat atas prinsip mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

Tindakan itu sebagai penegasan bahawa tidak ada sesiapa atau mana-mana pihak yang boleh memperkotak-katikkan dan menghina Malaysia dengan sewenang-wenangnya.

Sesungguhnya, Kang Chol telah bersikap biadab dengan melemparkan tuduhan tidak berasas. Beliau bagai tidak mengerti protokol dan adab dalam menjaga hubungan diplomatik antara dua negara. Korea Utara yang bakal menerima padah dan kerugian besar apabila hubungan telah terputus.

“Itu keputusan yang kita buat atas soal prinsip. Maknanya, kita adalah sebuah negara yang berdaulat dan sesiapa yang dihantar ke Malaysia mestilah menghormati negara kita.

“Dan jika dia membuat tuduhan yang melulu dan tidak berasas, maka dia sepatutnya meminta maaf dan menarik balik kenyataan tersebut, tetapi dia enggan berbuat demikian,” Najib dipetik sebagai berkata.

Bagaimanakah agaknya hubungan Kuala Lumpur-Pyongyang selepas ini?

Sudah tentu, tidak mudah untuk memulihkan keadaan, dan kini Korea Utara yang dipulaukan dunia dan memulaukan dirinya, pasti akan semakin terpulau. – Sarawakvoice