KUALA LUMPUR: Selepas menerima pelbagai cadangan untuk berdebat dengan pakar perbandingan agama, Dr. Zakir Naik, peguam celopar Siti Kasim, menolak hasrat itu lapor Utusan Malaysia, yang turut dipetik portal Siakap Keli.

Siti Kasim melalui status di akaun Facebooknya menolak untuk bersemuka dengan pendakwah terkenal itu, sebaliknya menganggap cabaran yang dicadangkan kepadanya itu dianggap bodoh, yang perlu ditolak ke tepi dan membuang masa.

“Mari kita ketepikan cabaran bodoh perbahasan di antara saya dan Dr. Zakir Naik.

“Jika orang bodoh ini berfikir bahawa saya mengalami obsesi tidak rasional dan tidak produktif dengan apa yang orang lain fikir mengenai saya, maka mereka boleh kekal sebagai keldai selama-lamanya.

“Jadi, berhenti buang masa saya,” kata Siti Kasim.

Siti Kasim turut mendakwa, beliau kini menjadi sasaran dalam apa yang dianggap sebagai isu gender.

“Fakta bahawa beberapa ‘keldai’ memilih saya dan Asiah amat ketara sekali sebagai isu gender.

“Terdapat 19 orang sependapat dalam saman itu dan mereka hanya menyerang dua daripada kita.

“Paling penting, orang bodoh ini tidak sedar ada tindakan undang-undang sedang berlangsung. Mungkin MCP ini perlu menyemak makna sub judice,” kata Siti Kasim.

Kenyataan itu kemungkinan merujuk kepada tindakan 19 saman sivil daripada 19 aktivis masyarakat termasuk beliau dan empat yang lain untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengisytiharkan pendakwah itu ancaman kepada keselamatan negara. – Sarawakvoice