BANGKOK: Duta Malaysia di Thailand, Datuk Nazirah Hussain berkata perdagangan dengan Thailand, rakan dagang keempat terbesar Malaysia kini berjumlah AS$20.83 bilion (RM88 bilion) pada 2016.

Bercakap pada seminar Prospek Makro Pasaran Global dan Pasaran Baru Muncul, Pandangan untuk Malaysia dan Thailand pada Isnin, Nazirah berkata, kini kedua-dua negara berazam mencapai sasaran perdagangan dua hala bernilai AS$30 bilion (RM132 bilion) menjelang 2018.

Memetik Bernama, Nazirah berkata, “kedua-dua pihak mengakui bahawa sasaran itu boleh dicapai dengan menggalakkan pelaburan dan perdagangan rentas sempadan yang lebih besar.”

Pada seminar sehari anjuran bersama RHB Bank Thailand dan RHB Securities (Thailand) dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Kedutaan Malaysia, Nazirah berkata, perdagangan sempadan dijangka memainkan peranan lebih besar pada tahun mendatang.

Kini, perdagangan sempadan menyumbang 65 peratus daripada jumlah perdagangan dua hala berkenaan.

Perbincangan bersama Thailand diadakan  bagi memudahkan perdagangan, pelaburan dan aliran pelancongan antara kedua-dua negara.

Bagi tempoh Januari-Disember 2016, seramai 3.5 juta pelancong Malaysia memasuki Thailand.

Manakala,pelancong Thailand mengunjungi Malaysia 1.4 juta orang.

Menurut Nazirah, pelancongan memainkan peranan luas merangsang sektor ekonomi seperti pengangkutan, makanan, penginapan, hiburan, kraf tangan, membeli-belah, spa, kesejahteraan, penjagaan kesihatan dan pendidikan. – Sarawakvoice