KUCHING: Kerajaan Negeri sedia memohon peruntukan RM1 bilion dari Kerajaan Pusat untuk melabur dalam menaik taraf dan mempertingkat kelajuan jaringan jalur lebar internet di Sarawak sehingga enam kali ganda berbanding sedia ada.

Penggunaan teknologi satelit berkenaan, selain kabel fiber optik kini, berkelajuan lebih 300 megabit sesaat (mbps) berbanding 50 mbps sedia ada.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg Kerajaan Negeri, nasihat pakar perlu diambil kira dalam penggunaan kedua-dua teknologi jalur lebar ini iaitu penggunaan satelit dan fiber optik.

Bercakap selepas merasmikan Career Sarawak and Training (SCaT Fair) anjuran TEGAS dan Unit Pembangunan Tenaga Kerja (UPTK) Jabatan Ketua Menteri, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) Sejingkat, Abang Johari berkata jaringan jalur lebar yang perlahan di bandar raya Kuching ada kalanya mencapai 50 mbps terutama pada waktu puncak atau sesak.

“Dengan penggunaan teknologi satelit atau fiber optik, negeri ini mempunyai kelajuan jaringan jalur lebar berlipat kali ganda lebih tinggi melebihi 300 mbps,” tambah beliau.

Abang Johari berkata, Persidangan Ekonomi Digital dan Infrastruktur Teknologi Komunikasi dan Maklumat Antarabangsa (IDECS) 2017 yang berlangsung 3-4 April depan di BCCK antaranya menjadi panduan bagi pihak kerajaan memutuskan penggunaan teknologi yang sesuai.

Mekanisme teknologi tersebut harus berupaya menaik taraf kelajuan jalur lebar berkenaan ke tahap maksimum mengikut keperluan semasa.

Menurut beliau, pakar bidang terbabit yang menghadiri persidangan tersebut di Kuching mengenal pasti dan menasihati kerajaan berkaitan model serta prasarana teknologi yang wajar dan sesuai digunakan dalam konteks Sarawak. – Sarawakvoice