KUALA LUMPUR: Ketika Iran melunyaikan Malaysia 14-0 pada Kejohanan Bola Sepak Pantai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2017 di Pantai Batu Buruk pada Ahad, perkembangan venue perlawanan Malaysia-Korea Utara bagi kelayakan Piala Asia 2019 pula menjadi pertaruhan ekoran perkembangan isu jenayah dan politik semasa.

Venue perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Pyongyang, Korea Utara ditentukan hari ini ekoran perkembangan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin tertinggi Korea Utara.

Menurut Bernama, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata beliau berbincang dengan Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul sebelum ini.

Pasukan Malaysia sedia bermain di gelanggang berkecuali sekiranya terdapat ancaman terhadap keselamatan pasukan kebangsaan di Pyongyang.

Hubungan diplomatik antara Malaysia-Korea Utara menjadi tegang selepas tragedi pembunuhan berprofil tinggi Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2) 13 Februari lepas.

Isu sensitif timbul ekoran kes jenayah tersebut seperti dakwaan penggunaan racun kimia, Agen Saraf VX dalam pembunuhan tersebut.

Media antarabangsa pula secara terbuka menuduh, kerajaan Korea Utara sendiri memain peranan dalam pembunuhan misteri itu.

Situasi menjadi lebih sensitif apabila Malaysia mengisytiharkan Duta Korea Utara Kang Chol sebagai ‘Persona Non Grata’ dan diberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan Malaysia.

Sebelum ini Kang Chol sangat vokal mengkritik cara polis Malaysia menangani kes kematian Jong-nam.

Sementara, masih berkisar pada isu bola sepak negara iaitu Kejohanan Bola Sepak AFC 2017.

Malaysia diasak sengit pasukan pelawat Iran yang merupakan kekalahan kedua skuad negara dalam Kumpulan A selepas tewas 3-5 kepada Afghanistan.

Skuad negara menentang Bahrain hari ini sebelum melengkapkan jadual perlawanan menentang pasukan China pada Rabu. – Sarawakvoice