KUALA LUMPUR: Tempoh dua minggu diberikan polis Malaysia kepada waris Kim Chol untuk mengemukakan bukti DNA bagi mengaitkan mangsa dengan Kim Jong-nam sudah berakhir beberapa hari lepas.

Malah, menghampakan seolah-olah tiada waris yang mahu mengaku atau berani menuntut mayat mangsa menguatkan wujudnya konspirasi, polis Malaysia terus menunggu tanpa kepastian.

Malah, waris mangsa di Macau dan Beijing dikatakan menghilang dan menyembunyikan diri di China sebaik sahaja Jong-nam disahkan terbunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA).

Jong-nama menggunakan dokumen perjalanan bernama Kim Chol semasa beliau diracun dengan Agen Saraf XV ketika menunggu penerbangan pulang ke Macau, China, 13 Februari lepas

Yang diterima setakat ini ialah tuntutan mayat oleh Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Kang Chol yang kini sudah menerima “Persona Non Grata” diarah keluar dalam tempoh 48 jam dari negara ini.

Malaysia tidak menerima tuntutan berkenaan atas dasar tiada pengesahan Ujian profil asid deoksiribonukleik (DNA), bahkan duta dikatakan tiada kaitan darah dengan mangsa.

Sekalipun Jong-nam masih hidup, waris atau pihak yang menyembunyikannya perlu membuktikan kewujudannya yang secara automatis dapat menafikan bahawa mayat yang terkujur kaku di Hospital Kuala Lumpur itu bukan milik Jong-nam!

Ketika Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata bukti mayat yang didakwa milik Jong-nam dapat dibuat dengan padanan rekod kesihatan atau pergigian mangsa, tiba-tiba ada bukti lain yang disifatkan sebagai “timbul” sendiri ke permukaan yang kusut.

New Straits Times pada Jumaat menyatakan terdapat tato ditubuh Jong-nam yang didakwa secocok dengan catatan perubatannya bagi memudahkan penyiasat merumuskan perkaitan antara mayat Kim Chol dengan Jong-nam.

Laporan menyebut, pada 2013 Jong-nam pernah mengirim fotonya yang tidak berbaju semasa berpesta di sebuah Hotel di Singapura kepada wartawan Jepun bernama Mizumi Fujita.

Pada foto tersebut terpampang ukiran tato pemancing dengan dua ekor ikan emas pada bahagian perut dan terdapat tato lain di bahagian lengan kiri Jong-nam.

New Straits Times mengungkapkan bahawa Mizumi Fujita didakwa mengenal Jong-nam lebih sedekad lalu.

Menurut Asia Correspondent pada Sabtu berdasarkan kecocokan tato tersebut, penyiasat di Malaysia mudah mengesahkan bahawa mayat Kim Chol sepadan dengan Jong-nam yang merupakan abang tiri kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Selepas memadankan tato berkenaan dengan kesahihan mayat Jong-nam, adakah pihak berkuasa Malaysia tidak memerlukan bukti DNA daripada waris mangsa?

Seterusnya kepada siapakah mayat mangsa dikembalikan kelak ketika anak lelaki, isteri dan waris Jong-nam terus menutup diri?

Kes bunuh Jong-nam diselimuti banyak misteri yang sukar diungkapkan sebagaimana misterinya kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac 2-014 lalu.

Dalam kes bunuh berprofil tinggi ini, Malaysia bukan sekadar berdepan dengan penjenayah antarabangsa yang dituduh oleh Korea Selatan dan Amerika Syarikat sebagai ejen perisikan Korea Utara yang licik.

Bahkan, kerumitan asasnya yang dihadapi penyiasat terletak pada isu asas iaitu identiti mayat yang menggunakan nama lain.

Malaysia bukan sahaja sukar mendapatkan DNA, bahkan ketidakpastian mayat mangsa dengan kegagalan tuntutan mayat mangsa menyusahkan pihak berkuasa.

Beberapa suspek warga dari negara lain terlibat dalam kes ini iaitu Siti Aisyah, 25, dari Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, warga Vietnam termasuk suspek dari Korea Utara yang masih bersembunyi di dalam Malaysia dan ada yang sudah melarikan diri ke luar negara.

Kerumitan kematian melibatkan hubungan diplomasi antara negara terpaksa ditangani secara berhati-hati penuh psikologikal bukan sahaja dengan Korea Utara, bahkan dengan Indonesia dan Vietnam termasuk China yang dikatakan tempat persembunyian keluarga Jong-nam.

Dalam pada itu, kes bunuh yang melibatkan rakyat sebuah negara seharusnya mendapat kerjasama konkrit daripada wakil kedutaan ataupun diplomat yang berada di sesebuah negara.

Dalam hal ini, duta Korea Utara di Malaysia, Kang Chol bukan sahaja tidak memberi kerjasama sepenuhnya kepada Malaysia menyelesaikan ke bunuh Jong-nam, bahkan secara terbuka lantang mengkritik kewibawaan pihak berkuasa di Malaysia.

Tindakan Kang Chol bahkan dilihat mengusutkan lagi keadaan dan mengakibatkan hubungan Malaysia-Korea Utara agak tegang, padahal beliau bertanggungjawab membajai dan menyuburkannya.

Susulan kes bunuh Jong-nam, Malaysia terpaksa menilai semula hubungannya dengan Korea Utara termasuk memansuhkan perjalanan tanpa visa rakyatnya ke Malaysia.

Malah, dalam isu keselamatan antarabangsa pihak luar menuduh ejen perisikan terlibat dalam membuka urusan niaga menjual peralatan perang di Malaysia.

Satu laporan media asing melaporkan perisikan Korea Utara mengendalikan operasi senjata di Malaysia di bawah nama Glocom, dan dua syarikat perdagangan – International Global System dan International Golden Services.

Imej Malaysia tercalar akibat kes bunuh warga lain yang dilakukan oleh rakyat negara lain, yang bukan dimintanya ketika ekonomi negara pada paras tidak menentu termasuk kemerosotan nilai mata wang berbanding tukaran dolar Amerika Syarikat.

Apakah keuntungan kematian Jong-nam kepada Malaysia?

Malaysia menafikan semua tuduhan tersebut termasuk tuduhan mengatakan Putrajaya mencabuli sekatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Korea Utara.

Kini, dengan terbuktinya Agen Saraf VX digunakan dalam pembunuhan Jong-nam Malaysia seolah-olah menanggung beban ketika pemimpin Duta Besar Britian, Matthew Rycroft di PBB meminta Malaysia mengemukakan bahan bukti itu kepada PBB dan Organisation for the Prohibition of Chemical Weapons (OPCW), untuk tindakan selanjutnya.

Malah, seperti sebuah “permainan budak-budak”, Korea Utara mengiakan kenyataan tersebut dan mahu Malaysia menyerahkan bukti kepada kepada PBB?

Bahkan, secara sinikal Korea Utara mahu nenara yang bertanggungjawab menghasilkan Agen Saraf VX menerima hukuman PBB.

Adakah sesiapa melihat maksud di sebalik gesaan seperti itu oleh negara yang tidak mahu memberi kerjasama dalam penyiasatan melibatkan warganegara mereka sendiri?

Bahkan, negara tersebut sampai hari ini masih mendakwa Kim Chol adalah Kim Chol, Kim Chol bukan Kim Jong-nam.

Kematian pengembara malang itu bukan berpunca daripada racun, tetapi adalah akibat serangan jantung berdasarkan ubatan jantung yang dibawanya!

Sehingga hari ini, perlu ditegaskan dengan menjadi beberapa buah negara yang selama ini sanggup mengadakan hubungan diplomasi dengan Korea Utara, Malaysia tidak pernah menuduh Korea Utara terlibat dengan pembunuhan misteri Jong-nam.

Tuduhan tersebut banyak dilemparkan di luar negara dalam bentuk siasatan media atau ejen perisikan mengatasi siasatan pihak berkuasa setempat.

Kematian Jong-nam tidak menguntungkan Malaysia, ia sebuah tragedi yang tidak diminta.

Ia sebuah takdir yang menguji kesabaran dan tahap profesionalisme banyak pihak di Malaysia merangkumi urusan dalaman negara hinggalah kepada hubungan antara negara dan hubungan antarabangsa. – Sarawakvoice