KUCHING: Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata beliau mungkin dilihat terlalu bercita-cita tinggi, tetapi realitinya beliau mahu mengubah Sarawak berstatus negeri maju dan moden di Malaysia.

“Saya mahu mengubah negeri kita Sarawak,” ujar beliau.

Menurut beliau, jika Singapura boleh berubah menjadi negara kaya sedangkan mereka tidak mempunyai sumber, kenapa Sarawak tidak dapat?

Beliau mengaku Sarawak kaya sumber yang dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memajukan negeri ini.

Bercakap pada Majlis Makan Malam Kesyukuran anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Samariang di Dewan Hikmah pada Jumaat malam, Abang Johari mengisytiharkan beliau menerima aset penting daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dari Kerajaan Pusat yang diberikan untuk Kerajaan Negeri.

Masih berahsia, Abang Johari berjanji akan mengumumkan berita baik itu dalam tempoh seminggu ini.

Abang Johari membayangkan aset berkenaan mampu menjadikan Sarawak negeri berdaya saing, selain memberi manfaat untuk rakyat mengubah cara hidup.

Pada majlis sama, Abang Johari yang mengamati bahawa lebih separuh daripada jumlah penduduk Sarawak merupakan golongan belia yang mahir teknologi, beliau mahu menumpu landasan ekonomi negeri ini seiring harapan dan kemahiran golongan muda ini.

Beliau berkata jentera pentadbirannya sedia melabur dalam prasarana teknologi maklumat dan komunikasi selari keperluan dan sesuai dengan peredaran masa. – Sarawakvoice