KUCHING: “Saya tabik kepada pasukan ini. Ia sebenarnya perlawanan yang sengit. Barisan serangannya kuat, pantas dan tidak mudah berputus asa.”

Itu hamburan pujian Ketua Jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora terhadap pasukan muda Sarawak, selepas aksi di Stadium Negeri malam semalam.

Menurutnya, biarpun menang 2-0, ia bukan sesuatu yang mudah bagi anak-anak buahnya.

“Saya kagum, kerana di sebalik usia muda mereka (Sarawak), mereka tahu bagaimana hendak bermain dengan stail mereka sendiri.

Anak-anak buah David Usop katanya, sebenarnya sebuah pasukan yamg sukar untuk ditewaskan.

“Kita amat bertuah kerana dalam tempoh 15 minit terawal, pemain-pemain Sarawak gagal memanfaatkan peluang.

“Mereka begitu mencabar. Sukar untuk kami menang jika mereka bermain seperti 15 minit pertama itu,” katanya lagi.

Katanya, JDT bagaimanapun berjaya menemui rentak mereka selepas itu, sebelum menggerakkan serangan berdasarkan corak dan rancangan yang diatur sebelumnya.

Sarawak katanya, mungkin tidak banyak memegang bola tetapi mereka mencabar dengan hantaran jauh setiap kali berkesempatan.

“Dan banyak pergerakan pantas mereka amat berbahaya.

“Tetapi inilah kami…JDT. Semua pasukan yang dilawan akan beranggapan ia umpama aksi perlawanan akhir.

Mora berkata, beliau gembira kerana anak-anak buahnya telah melaksanakan tugas dengan baik.

“Kita menang berturut-turut tiga perlawanan terakhir, dan telah menyumbat lapan gol.

“Kita kini sedang berada di landasan yang tepat.

Katanya, beliau gembira kerana setiap hari berhadapan aksi yang sukar.

“Bukan gembira untuk saya secara peribadi, tetapi ia penggalak yang baik agar pemain memberi lebih 100 peratus tumpuan dan kudrat.

“Kita tahu JDT tidak boleh kalah dan ia berlaku pada hari ini. Saya amat gembira dengan prestasi anak-anak buah saya,” katanya lagi.

Kemenangan di Kuching meletakkan JDT dalam petak saingan tiga pasukan teratas Liga Super 2017. – Sarawakvoice