KUCHING: Seramai 351 atlet badminton dari seluruh dunia, diketuai jaguh-jaguh dunia, Datuk Lee Chong Wei, Lin Dan dan Cheng Long akan menyertai Celcom Axiata Malaysia Open 2017, yang akan berlangsung di Stadium Perpaduan, Kompleks Sukan Sarawak pada 4 hingga 9 April depan.

Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jagoan-jagoan ini akan beraksi untuk merebut habuan USD600 ribu (RM2.4 juta) yang dtawarkan oleh kejohanan bertaraf “super series” itu.

“Bagi Kerajaan Negeri Sarawak, kita amat mengalu-alukan penganjuran ini yang menjadi salah satu program pelancongan sukan negeri ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat induk penganjuran kejohanan di Stadium Negeri, dekat sini.

Turut hadir Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Tan Sri Mohamad Al-Amin Abdul Majid dan Presiden Persatuan Badminton Sarawak,Tan Sri Abdul Aziz Hussain.

Jelas Karim, Indonesia akan menghantar wakil terbanyak dengan 53 peserta, diikuti Malaysia (46), China (40), Taiwan (37), India (32), Denmark (24), Jepun (24), Thailand (20), Korea (17), HongKong (16)England (11), Singapura (7), Mesir (6) dan Australia (6).

“Bulgaria, Jerman dan Rusia akan menghantar tiga peserta manakala Perancis, Sepanyol dan Amerika Syarikat masing-masing seorang.

Menurutnya, kejohanan yang turut dipancarkan secara langsung ke seluruh dunia secara langsung.

Kepada peminat-peminat tegar badminton dari negeri ini dan jiran, mereka boleh menyaksikan kelibat pemain-pemain dunia ini secara percuma pada hari pertama kejohanan pada 4 April.

“Manakala untuk hari berikutnya, harga tiket yang bebas tempat duduk dijual pada harga RM20 (5 April), RM30 (6 April), RM40 (7 April), RM50 (8 April) dan RM60 (9 April).

Tiket mula dijual pada 6 Mac depan, manakala tempahan pembelian melalui online boleh dilakukan dengan melayari laman sesawang www.badmintonmalaysiaopen.com. – Sarawakvoice