KUCHING: Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid berharap Datuk Lee Chong Wei dapat memberi fokus untuk muncul juara dalam Kejohanan Yonex All England, pada 7 Mac ini.

Menurutnya, beliau gembira sandaran utama badminton negara ini akan berlepas ke Birmingham pada Sabtu, setelah pulih daripada kecederaan lutut kirinya.

Kecederaan tersebut dialami oleh Chong Wei pada bulan lalu selepas tergelincir.

Namun beliau memperoleh lampu hijau semalam daripada Institut Sukan Negara untuk beraksi.

Mohamed Al Amin memberitahu, kini sudah tiba masanya untuk Chong Wei memberikan sepenuh perhatian kepada kejohanan-kejohanan dunia yang akan dilaluinya, seterusnya mencipta kejayaan.

Mengenai masalah yang dihadapi Chong Wei sebelum ini, Mohamed Al Amin berkata, beliau beranggapan ia telah selesai dan tidak perlu diperbesar lagi.

“Satu perbincangan telah diadakan pada Isnin bagi mewujudkan garis panduan apakah tanggungjawab Morten (Frost Hansen) dan apakah tanggungjawab baharu yang diserahkan kepada Hendrawan dan Tey Seu Bock.

“Ini untuk membolehkan persiapan Lee Chong Wei ke kejohanan dunia akan lebih fokus dan membolehkan kita memberikan sepenuh sokongan kepada Chong Wei mencapai matlamatnya,” katanya lagi.

Beliau ditemui pada sidang media bagi mengumumkan Kejohanan Celcom Axiata Malaysia Open 2017 yang akan dilangsungkan di Stadium Perpaduan di Kuching, Sarawak pada 4 April depan.

Mengulas isu tersebut, beliau menegaskan ia bukan sesuatu yang terlalu serius.

“Ia isu yang sengaja diperbesar sebagai reaksi prestasi menurun Chong Wei sebelum ini.

“Yang pasti, sebagai profesional kita harus menerima hakikat bahawa kita kadang-kadang terpaksa bekerja dengan orang yang kita tidak suka,” katanya lagi.

Isu ini katanya, sudah dileraikan kerana formula untuk menanganinya adalah dengan mengadakan pertemuan empat mata.

Dalam sidang media yang dipengerusikan oleh Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah itu, seramai 351 atlet akan menyertai kejohanan ini, yang menawarkan habuan tunai USD600 ribu. – Sarawakvoice