[Kolumnis] Undi rakyat Kelantan bukan hak milik kekal parti PAS

Siapapun tidak dapat nafikan bahawa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li adalah seorang tokoh politik luarbiasa. Pada zaman gemilangnya beliau pernah mencabar kerusi presiden UMNO, menubuhkan parti serpihan dan seterusnya membantu PAS menubuhkan kerajaan di Kelantan selepas PRU 1990.

Apabila UMNO menemui pada beliau awal tahun 1970an, Ku Li telah diberi tempat istimewa. Beliau dilantik menjadi Menteri Kewangan (1976-84), Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri (1984-87). Beliau berjaya meletakkan asas kepada pemodenan ekonomi negara dan berperanan dalam merampas negeri Kelantan daripada PAS semasa Pilihan Raya Negeri (selepas Kelantan diisytiharkan darurat) pada tahun 1978.

Gua Musang selamanya akan dikaitkan dengan Ku Li. Selama 10 penggal parlimen, beliau telah berkhidmat untuk pengundi situ dan khabarnya akan bertanding lagi dalam PRU ke 14 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Untuk sekian lama, Ku Li memprojekkan dirinya seorang negarawan dengan mengutarakan pandangan dan komentar yang mengenai isu-isu yang menjadi kepentingan masyarakat dan negara. Amat jarang sekali kita dengar Ku Li memberi komentar mengenai politik Kelantan.

Mungkin kerana beliau sendiri menghormati arwah Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menjadi Menteri Besar (1990-2014) atau kerana beliau tahu kemampuan pemimpin UMNO Kelantan.

Selama lebih 27 tahun UMNO Kelantan di bawah pimpinan Datuk Seri Mustapa Mohamed (sebelumnya dipimpin oleh Tan Sri Annuar Musa) tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa mereka telah pulih daripada ‘kemalangan’ yang dialami semenjak PRU 1990.

Sementara itu, rakyat Kelantan menyaksikan tidak banyak pembaharuan yang mampu dilaksanakan oleh kerajaan negeri pimpinan PAS selama mereka berkuasa.

Lebih malang lagi, selepas ketiadaan Nik Aziz Nik Mat, parti itu dilihat lebih banyak bertelagah dan dengan bergaduh sesama sendiri berikutan dengan perpecahan dalaman yang berlaku.

Peristiwa yang Datuk Husam Musa dihalau dan dikecam dengan begitu hina oleh pengikut-pengikut PAS dalam satu majlis di perkarangan Stadium Kota Baharu yang menjadi viral pada minggu sudah merupakan salah contoh yang jelas.

Kesejahteraan rakyat tidak begitu dipedulikan sangat oleh kepimpinan PAS Kelantan semenjak akhir-akhir ini.

Mungkin kerana itulah barangkali pada Sabtu 25 Februari lalu, selepas merasmikan mesyuarat PIBG di daerah Gua Musang,  Ku Li cuba meniupkan semula sisa-sisa putung perjuangan di kalangan UMNO Kelantan yang telah lama sejuk dan basi.

Ku Li mengesa UMNO Kelantan mengambil kesempatan untuk menumbangkan kerajaan Pas memandangkan parti berkenaan sedang berdepan dengan isu perpecahan dalaman.

“Kita perlu bergerak untuk rakyat dalam membantu menumbangkan kerajaan Pas. Saya yakin, rakyat sudah jemu dengan pimpinan kerajaan yang tidak memberi faedah kepada rakyat. Bila tiba masa, kita tiup wisel, Insya-ALLAH, dengan kerjasama banyak pihak, kita boleh merampas Kelantan. Saya ada sedikit pengalaman dalam hal ini”.

Demikian seruan Ku Li seperti yang dipaparkan oleh sebuah akhbar tempatan pada Ahad (26 Februari 2017) semalam. Ternyata pemimpin veteran daripada Kelantan itu masih bersemangat jitu dalam mengangkat aspirasi rakyat.

Ku Li berjaya meninggalkan batu tanda penting dalam arus politik Malaysia pada dekad 70an, 80an, 90 dan dekad awal alaf baharu. Adakah diusia 8 siri seperti sekarang beliau masih mempunyai ‘wow factor’ dan mampu menyebabkan peralihan politik berlaku di Kelantan pada PRU 14 nanti?

Jawapan kepada soalan itu ada di tangan pengundi-pengundi Kelantan. Apa yang pasti undi rakyat Kelantan bukan hak milik kekal parti PAS! – Sarawakvoice