Tun Dr Mahathir Mohamad, 91, nampaknya masih belum berjaya memujuk hati penyokong reformasi, meskipun sebahagian besar ahli reformasi merupakan penyokong Pakatan Harapan (Harapan).

Harapan kini menjalin pakatan bersama parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir, khususnya dalam berdepan Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Ketika mantan perdana menteri ini melangkah ke Konvensyen Reformis Malaysia pada Sabtu di Shah Alam, reformis tidak teragak-agak memasukkan serta mendokumentasikan nama beliau dalam resolusi konvensyen.

Sangat ironis dan sinikal!

Ibarat tetamu yang tidak diundang, Dr Mahathir gagahkan diri beliau berdepan dengan penyokong reformasi yang pernah menjadi musuh politik tegar beliau lebih sedekad lalu.

Resolusi ke-6 konvensyen itu menegaskan bekas perdana menteri itu bukan seorang reformis.

Sejurus sebelum konvensyen berkenaan berakhir, kumpulan reformis berkata, “konvensyen ini bukan sebuah forum meminta pandangan beliau mengenai agenda reformasi.”

Reformasi gerakan yang diketuai bekas ketua pembangkang dipenjarakan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut pembaharuan politik dan menyingkirkan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir, susulan pemecatan Anwar dari Kabinet pada September 1998.

Pemecatan itu turut mencetuskan beberapa protes besar-besaran anti-kerajaan di Malaysia dengan sejumlah penunjuk perasaan di jalan raya ditahan.

Disukai atau dibenci bukanlah masalah besar bagi Dr Mahathir.

Pada Konvensyen Reformis, Dr Mahathir dibenarkan berucap meskipun dianggap bukan sebahagian daripada program penganjur.

Kalah tetapi menang, kerana Dr Mahathir dapat menyatakan pendapat dan pendiriannya meskipun “dijerkah” reformis.

Dr Mahathir berkata, “saya ingin tekankan di sini akan pentingnya kita lupakan yang lama.

Ucapan beliau mendapat pelbagai respons dengan ada yang melaungkan: “Tak boleh lupa Tun. 18 tahun Tun!”, jelas nmerujuk kepada peristiwa selepas Anwar dipecat sehingga hariu ini Anwar mendekam di penjara buat kali kedua.

Pengerusi Reformis Malaysia, Saari Sungib yang pernah ditahan di bawah ISA semasa pemerintahan Dr Mahathir berkata, penganjur tidak menjemput Dr Mahathir ke majlis berkenaan.

‘Bagaimanapun, Saari berkata beliau diterima sekiranya menyertai kempen membebaskan Anwar serta sudi meminta maaf atas kesilapannya yang lalu terhadap Anwar.

“Saya bukan orang yang disukai semua orang, banyak yang masih tak suka,” kata Dr Mahathir dan disambut sorakan “Betul! Betul!” daripada hadirin.

Memetik Malaysiakini, Dr Mahathir berkata, “lepas itu kalau nak ambil tindakan ke atas saya, ambik laaa…” katanya disambut tepukan dan sorakan.

Sebagai pemimpin penuh kejutan Dr Mahathir pada acara lain bercakap kepada media selepas disiasat polis berhubung artikelnya awal Februari lepas, bahawa beliau sanggup berkongsi lokap dengan Anwar Ibrahim di Sungai Buloh demi memperjuangkan isu rakyat.

Dr Mahathir berkata beliau sanggup ditahan bersama bekas timbalannya, “Saya sedia menerima akibatnya kerana keprihatinan saya demi rakyat dan negara ini.

“Untuk itu, saya akan terus bersuara walaupun ia bermakna dipenjara di Sungai Buloh dan berkongsi sel dengan Anwar,” katanya.

Anwar sudah setahun dipenjara di Sungai Buloh.

Sebelum ini Dr Mahathir berdepan siasatan Seksyen 500 Kanun Keseksaan berhubung tulisan “AG to AG” di blognya pada 3 Februari lepas yang dianggap menghasut.

Manakala, dalam perkembangan terakhir berkaitan kerjasama dengan Pas, Dr Mahathir yang begitu beria-ia mahu bersama Pas menumbangkan BN pada PRU14, kini tidak lagi menyebut tentang Pas dalam ucapannya pada program anjuran Bersatu di Sungai Buloh.

Ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan perlunya Pas bersama-sama dengan Harapan menghadapi BN, Dr Mahathir buat pertama kalinya mengelak bercakap berkaitan kerjasama dengan Pas.

Muhyiddin dalam ucapannya percaya Harapan, Bersatu serta PAS boleh mengetepikan perbezaan, sebaliknya memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

Dr Mahathir seperti patah hati, kini beliau tidak lagi mengaitkan perjuangannya partinya dengan Pas.

Bersatu pada Disember 2016 menandatangani kerjasama dengan Harapan yang terdiri daripada Dap, PKR dan Amanah.

Dr Mahathir mengulangi gesaannya kepada pakatan pembangkang agar menggunakan hanya satu logo menghadapi PRU14 akan datang.

Pas sebelum ini menegaskan tidak akan menjalinkan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti yang ada kaitan dengan Dap dan Amanah.

Terdapat pemimpin Pas yang mengembalikan paku buah keras terhadap Dr Mahathir agar menoleh ke belakang, apakah yang telah dilakukannya ke atas PAS lebih dua dekad memerintah! – Sarawakvoice