KABONG: Dalam misi mencari ruang sebagai calon untuk P. 205 Saratok, Subeng Mula,52, kini bergerak ke beberapa lokasi rumah panjang sebagai langkah promosi dan ‘test market’ (penanda aras) bagi mengukur sambutan rakyat di daerah ini.

Beliau yang menunjukkan minat mendalam untuk terjun dalam kancah politik kini mengkaji potensi diri dan sambutan penduduk dalam usaha memastikan kelangsungan hajat dan seterusnya dipilih oleh pucuk pimpinan atasan sebagai calon bagi menafikan cengkaman penyandang kerusi berkenaan, Tan Sri William Mawan Ikom dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Rumah Panjang Chuat Empayang telah menjadi lokasi persinggahan Subeng bersama rombongannya dan disambut oleh lebih 500 penduduk petang semalam.

Sesi mempromosi diri dibuat Subeng dengan berucap memperkenal diri dan memperjelas tujuan perjumpaan yang bermula jam 6.30 petang.

Subeng yang ditemui melahirkan rasa puas hati dengan sambutan penduduk setempat yang menunjukkan peningkatan dalam setiap kali sesi perjumpaan yang diaturnya.

“Sokongan yang saya terima amat baik dan sentiasa menunjukkan pertambahan dari segi bilangan yang hadir. Saya harap pucuk pimpinan parti turut mengambil kira perkembangan positif ini.

“Sokongan yang amat baik ini menyemarakkan lagi semangat saya untuk menjadi wakil rakyat di kawasan P.205 Saratok.

“Terdapat beberapa individu turut bergerak dengan hasrat yang serupa tetapi saya masih yakin dengan jalinan kerjasama dan rangkaian yang sedang saya bina saya percaya peluang amat baik untuk saya,” ujarnya.

Jelasnya, kawasan Kabong, Roban dan Ulu Krian kini telah dikunjungi dengan pengelolaan majlis bertemu penduduk.

Tambahnya, jika hasratnya menjadi kenyataan beliau akan membuat tranformasi dalam pelbagai aspek di kawasan yang diwakili.

Sesi perjumpaan bersama penduduk di Rumah Chuat Empayang Baroh berakhir kira-kira jam 12 tengah malam.

Hadir sama dalam majlis berkenaan Tuai Rumah Chuat anak Bugi dan beberapa ketua masyarakat setempat. – Sarawakvoice