SEMATAN: Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali berkata terdapat 26 senarai permohonan diluluskan untuk tujuan pengukuran oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 19 kawasan di DUN ini yang berkeluasan 23,158 ekar diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian).

Pewartawaan tersebut termaktub di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri menerusi Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Inisiatif Baharu.

Tengah mendedahkan, daripada jumlah yang diluluskan itu, 22 kawasan seluas 25,049 ekar  siap diukur, sementara 23 kawasan seluas 23,145 ekar mula diukur.

Bercakap merasmikan Majlis Penyampaian Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) Menurut Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri di Dewan Sentosa, Kem Putra Sentosa pada Khamis, Tengah berkata pada peringkat kedua program, JTS siap mengukur lot individu di Kampung Telok Melano dan Telok Serabang.

Sebanyak 235 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri telah dikeluarkan di kawasan berkenaan.

Tengah mengaku bahawa kerja penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera bermula lama mengikut Ordinan Tanah tetapi kurang sistematis dan lamat.

Justeru, kerajaan mengambil inisiatif baharu mempergiat usaha pengukuran tanah NCR agar lebih efektif.

Tengah berkata, Kerajaan Persekutuan memberi bantuan kewangan menjayakan kerja penyukatan tanah tersebut.

Untuk 2017, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM13 juta bagi tujuan kerja penyukatan tanah NCR di seluruh Sarawak. – Sarawakvoice