KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan Pengurus Besar Kanan, Bahagian Sumber Manusia Malaysia Aiports Holdings Berhad (MAHB) kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukannya untuk meluluskan peruntukan sekitar RM80,000 bagi tujuan rawatan kecantikan kulit serta pelangsingan badan dirinya.

Suspek berusia 41 tahun itu ditangkap di kediamannya di Bandar Tun Razak, Cheras kira-kira jam 11 pagi.

Menurut sumber, suspek dikatakan mempunyai masalah obesiti dan disyaki telah menyalahgunakan kad kredit korporat yang dibekalkan oleh MAHB kepadanya untuk menjalani rawatan yang tidak terdapat dalam kontrak faedah.

Difahamkan, MAHB akan membekalkan kad kredit korporat kepada pegawai yang layak untuk kegunaan rasmi.

Melalui maklumat yang dikumpulkan, kad kredit korporat itu hanya boleh digunakan untuk kegunaan rasmi termasuk pembelian tiket kapal terbang, peginapan, keraian dan dan belanja mesyuarat seperti yang dinyatakan dalam SOP syarikat tersebut.

Suspek dilantik sebagai Pengurus Besar, Bahagian Sumber Manusia pada Januari 2015 sebelum dinaikkan pangkat ke Pengurus Besar Kanan di bahagian yang sama pada Disember 2015.

Siasatan awal mendapati suspek telah mendapatkan rawatan kecantikan kulit serta pelangsingan badan tersebut di sebuah klinik dan hospital swasta di Lembah Klang antara Disember 2015 hingga Ogos 2016.

Jelas sumber lagi, segala kelulusan tuntutan perubatan kakitangan MAHB bergantung kepada semakan yang dilakukan oleh sebuah syarikat pihak ketiga yang dilantik bagi menguruskan kemudahan perubatan kakitangan mengikut ‘Schedule of Benefits’ dan ‘exclusion list’ yang diluluskan oleh Bahagian Sumber Manusia MAHB.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata pihaknya telah merampas beberapa dokumen termasuk kad-kad kredit korporat yang dibekalkan kepada suspek bagi membantu siasatan.

Suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk permohonan reman. – Sarawakvoice