Polis Dang Wangi sah tahan wartawan Korea di pekarangan HKL

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Ahmad pagi tadi mengesahkan penahanan seorang lelaki yang dipercayai petugas media warga Korea Selatan malam tadi di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur.

Menurutnya, penahanan tersebut dilakukan susulan laporan polis oleh pihak keselamatan Hospital Kuala Lumpur sekitar jam 9.56 malam, berkaitan dua individu iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan yang berlegar-legar di kawasan berhampiran Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur dalam keadaan mencurigakan.

“Mengambil kira faktor keselamatan dan situasi semasa, pihak polis telah meningkatkan kawalan keselamatan dengan mengatur gerak elemen-elemen dalam PDRM termasuk STAFOC untuk berkawal di kawasan persekitaran Jabatan Forensik Kuala Lumpur.

“Hasil siasatan, pihak polis telah merakamkan percakapan individu lelaki terbabit yang juga warganegara Korea Selatan yang bertugas sebagai wartawan Korea Broadcasting System.

“Suspek yang mempunyai pas media yang sah dibenarkan pulang selepas percakapannya dirakamkan.

Pihak polis katanya, kini sedang mengesan seorang lagi individu wanita bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan,” tambahnya. – Sarawakvoice