KUALA LUMPUR: Kejayaan Pas menganjurkan Himpunan RUU355 Sabtu lalu disifatkan parti Islam itu sebagai sejarah yang dilakar dengan segala pengorbanan daripada semua pihak yang mahu melihat Islam tegak di bumi tercinta ini.

Ketua Penerangan Pas yang juga pengarah himpunan, Nasrudin Hassan mendakwa, himpunan  itu  berjaya mengumpulkan kira-kira 300,000 warga.

“Ia menjadi satu detik sejarah bernila tinggi bagi menyaksikan kebangkitan umat Islam dari pelbagai latar belakang,” katanya.

Mereka, ujarnya, merupakan warga yang cintakan kesejahteraan rakyat dan keamanan negara dan ia menjadi isyarat yang sangat jelas bahawa telah sampai masanya Islam dikembalikan ke tampuknya yang tinggi mengatasi ideologi yang dicipta oleh manusia untuk memulihkan kesejahteraan rakyat.

Melalui himpunan itu, katanya lagi, rakyat mahu Islam diberi peluang pelaksanaannya melalui pemerkasaan syariah untuk memulihkan keamanan negara.

“Tiada siapa lagi yang boleh mempersenda dan memperlekehkan Islam. Justeru Islam adalah agama yang membawa keadilan sejagat dan kesejahteraan ummah. Menyaksikan ikrar para pejuangnya bersatu di atas kalimah yang sama,” tambahnya dalam sstu kenyataan.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan Himpunan 355 sama ada secara langsung atau tidak langsung termasuk kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kebenaran dan kerjasama yang diberikan kepada H355.

Katanya, Himpunan 355 turut diperhebatkan dengan pengorbanan anggota Jabatan AMAL Malaysia yang bertugas penuh dedikasi dan para sukarelawan yang membantu.

“Agenda memartabat Islam dan syariatnya, agar ia benar-benar menjadi agama negara mestilah diteruskan momentumnya. Ia menjadi tanggungjawab kita bersama termasuk rakan-rakan non-Muslim justeru Islam menjanjikan keadilan dan rahmat untuk semua,” tambahnya. – Sarawakvoice