Tuntutan palsu pemasangan karpet surau, penjawat awam didakwa SPRM

PUTRAJAYA: Seorang penjawat awam disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mengemukakan tuntutan palsu bagi pembekalan dan pemasangan karpet di sebuah surau dengan nilai RM6,400, dua tahun lalu.

Tertuduh, seorang bekas Penolong Jurutera Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini namun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat MAIDAM pada 29 Disember 2015 dengan memperakui kerja-kerja pemasangan karpet di surau Al-Hijrah dibuat dengan sempurna sedangkan pemasangan karpet tersebut tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shahida Muslimah Roslan. – Sarawakvoice