KUCHING: Juara Liga Bola Sepak Rakyat 2016, Kuching FA memulakan saingan dalam Liga FAM dengan langkah kanan apabila menumpaskan kelab Selangor, PBMM-PBSM FC 2-1 semalam.

Bermain di gelanggang sendiri, Kuching FA yang dipimpin Helearn Wilfred mendapat suntikan semangat apabila turut turun menyaksikan pertemuan sulung itu ialah Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Di hadapan lebih 500 penyokong yang hadir, penyerang Sufizal Ismail muncul wira Kuching apabila meledakkan dua jaringan pada minit ke-32 dan 41 bagi membolehkan tiga mata penuh diraih.

Manakala gol sagu hati pelawat disumbang Yusaini Hafiz Che Saad pada minit ke-76.

Mengulas pertemuan tersebut, Helearn berkata kemenangan tersebut amat penting sebagai menyemarakkan semangat anak-anak buahnya bagi mengharungi baki liga.

“Mereka bermain dengan begitu bersemangat dan menghalakan serangan bertali arus kepada lawan yang lebih berpengalaman.

“Biar mendahului, pasukan agak hilang fokus pada separuh masa kedua, kerana faktor keletihan.

Kecergasan katanya, menjadi isu besar pasukannya kerana kebanyakan pemainnya bertaraf amatur.

“Mereka bukan profesional dan latihan hanya diadakan sekitar sejam selepas waktu bekerja jam 5 petang.

“Ia bukan alasan tetapi kita perlu menerima hakikat ini. Jadi selepas ini, kami perlu bekerja lebih gigih untuk mengatasi masalah ini.

Sementara itu, pengurus pasukan, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, kemenangan ini amat penting sebagai pembakar semangat pasukannya untuk melangkah lebih jauh.

“Saya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pemain kerana ia membuktikan bahawa mereka ‘layak’ bermain dalam Liga FAM dan mampu untuk memberi saingan kepada pasukan lain.

“Dalam perlawanan seterusnya, menentang Sime Darby, kami faham pasukan yang akan dihadapi ini kelak adalah sebuah pasukan yang cukup berpengalaman dalam Liga Malaysia.

Pasukan tersebut katanya, memiliki gabungan pemain berpengalaman dan import.

“Justeru itu, kami akan mengkaji corak permainan pasukan lawan dan berusaha mencatur strategi khas dalam mendepani mereka.

“Kami berusaha untuk pastikan sekurang-kurangnya tiada mata yang tercicir,” katanya lagi. – Sarawakvoice