Pada Sabtu 18 Februari 2017, Himpunan 355 (H355) – himpunan menyokong pindaan Akta 355 untuk memartabatkan Mahkamah Syariah anjuran parti PAS diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

PAS mendakwa seramai 300,000 orang menyertai himpunan tersebut. Gambar-gambar peserta memakai pakain bewarna unggu menghiasi muka hadapan akhbar dan sosial media pada hari esoknya.

Namun begitu angka ini dinafikan oleh media tertentu  dan sesetengah pemerhati yang anti PAS dengan menyatakan jumlah yang hadir adalah antara 20,000 hingga 30,000 sahaja. Jumlah yang hadir dikatakan tidak sepadan dengan persiapan yang agak lama dilakukan oleh jentera PAS dan kerajaan PAS Kelantan mengumumkan cuti peristiwa pada hari esoknya.

Tinjauan yang penulis sendiri lakukan pada jam 6.30 petang menunjukkan kehadiran menjangkau hampir 150,000 orang. H355 bukan mendapat sokongan daripada semata-mata daripada ahli-ahli PAS sahaja. Banyak NGO berorientasikan Islam, termasuk ahli-ahli UMNO dan Pekida turut sama hadir menyatakan sokongan mereka.

Himpunan tersebut diadakan untuk mendapat sokongan masyarakat mengenai Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2016) yang umum dikenali sebagai RUU355.

Ia telah dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, iaitu Datuk Hj Hadi Awang pada 26 Mei 2016. RUU355 dijadual akan dibahaskan di parlimen pada persidangan yang akan datang.

Ketika Akta 355 diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1965, tidak timbul apa-apa masalah. Kali terakhir Akta 355 ialah pada tahun 1984, juga tidak timbul rungutan dan sebarang pertelingkahan.

Namun pada kali ini, ada antara orang Islam (termasuk Mufti) dan bukan Islam bimbang terhadap RUU355 kerana dikaitkan dengan hukum hudud walaupun Akta 355 itu tidak ada kena mengena dengan hudud.

Akta 355 sekarang ini dibenarkan menjatuhkan hukuman tidak melebihi penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan. Cadangan RUU355 ialah untuk mengubah hukuman sedia ada kepada 30 tahun penjara, RM100,000 denda dan 100 kali sebatan.

Harus diingat bahawa Mahkamah Syariah hanyalah untuk membicarakan orang Islam sahaja dan tidak melibatkan orang bukan Islam. Dari segi hukuman pula, iainya tidak melibatkan hukuman mati, kesalahan mencuri dan merompak kerana kesalahan tersebut jatuh di bawah undang-undang penal code.

Penceramah yang dijemput menyampaikan ucapan pada majlis H355 antaranya ialah Ustaz Azhar Idrus, Zainul Rijal Abu Bakar, Dr Yusri Mohamad,  Datuk  Dr Hassan Ali, Dato Dr. Zulkilfi Albakri (Mufti Wilayah), Timbalan Presdien PAS, Murshidul Am PAS dan Presiden PAS sendiri. Jika dapat diringkaskan, tema ucapan mereka hanya tertumpu kepada satu sahaja, iaitu Mahkamah Syariah perlu ditinggikan tarafnya.

Usaha ini tidak sepatutnya diperkecil dan dilihat sebagai boleh menggugat perpaduan kaum. Bagi negeri-negeri Melayu yang tidak dijajah secara langsung oleh pihak Kolonial British (seperti Kelantan, Kedah, Terangganu, Perlis dan Johor), perundangan Islam adalah sebahagian daripada identiti dan sejarah mereka yang panjang. – Sarawakvoice