Benteng tengah bunuh aksi PBMM-PBSM FC – Ketua Jurulatih

KUCHING: Ketua Jurulatih PBMM-PBSM FC, Zulakbal Abdul Karim menyifatkan kesilapan benteng tengah telah “membunuh” pasukan itu dalam saingan menentang Kuching FA di Stadium Negeri semalam.

“Kesilapan itu tidak boleh dimaafkan, kerana ia berlaku dua kali, hingga membolehkan penyerang lawan Sufizal Ismail mudah melakukan kuisan ke dalam gawang gol,” katanya.

Menurutnya, tanpa kesebelasan utama, yang cedera selepas aksi menentang Perak dalam saingan Piala FA, anak-anak buahnya jelas gagal memberi fokus kepada perlawanan semalam.

“Mereka mengambil masa yang agak lama untuk ‘settle-down’ dan ini menyebabkan pasukan tuan rumah dapat merancang gerakan-gerakan berbahaya.

“Malah mereka berada dua gol di depan, berikutan kawalan pertahanan yang tidak ketat selain kesilapan-kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan.

Pada masa yang sama beliau mengakui para pemainnya berusaha untuk melakukan serang balas namun aksi tersebut disekat oleh sentuhan-sentuhan penyudah yang gagal.

“Pada masa yang sama mereka juga terbawa-bawa dengan permainan Kuching FA, dan hanya selepas pasukan lawan keletihan, baharu kita dapat menemui kembali rentak permainan.

“Itu pun sudah terlambat kerana kita telah dibolosi dua kali.

“Selepas jaringan Yusaini Hafiz Chee Saad pada minit ke-76, anak-anak buah saya berusaha memburu gol penyamaan, namun pasukan lawan mula mencatur halangan yang mengekang segala peluang.

Berhubung persediaan perlawanan berikutnya, menghadapi Syarikat Air Melaka Berhad, Zulakbal menjangkakan pihaknya akan menghadapi laluan sukar.

“Sukar kerana kita telah menewaskan mereka dalam aksi pusingan pertama Piala FA sebelum ini.

“Justeru mereka pasti akan bermain ‘bermati-matian’ untuk aksi balas dendam,” tambahnya. – Sarawakvoice