Pas tidak lagi berlapik bercakap apabila dengan jelas menentukan dasar, bahawa mana-mana parti yang ada hubungan dengan Parti Tindakan Demokratik (Dap) dan Parti Amanah Nasional (Amanah) tidak layak bekerjasama dan bersekongkol dengannya.

Selepas berkerat rotan dengan Dap kerana didakwa menarik ahlinya untuk membentuk Amanah, Pas begitu kritikal dengan Dap.

Selepas berpatah arang dengan Amanah kerana dianggap “derhaka” untuk menjadi serpihan, Pas begitu sensitif dengan rakan yang pernah tidur sebantal dan mempunyai mimpi sama itu.

Kini, isu Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mula memanas apabila Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tempoh sebulan bagi Pas memberi kata putus sama ada mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (Harapan) ataupun tidak.

Benarlah kata Pas, Mahathir lupa perkara yang pernah dibuatnya selama 22 tahun beliau memerintah Malaysia dengan Pas tegar menjadi pembangkang.

Pas pasti ingat apakah yang dilakukan Mahathir terhadap kerajaan negeri yang diperintahnya di Terengganu khususnya berkaitan honorarium Petronas yang terus bertukar menjadi wang ihsan.

Itu baru satu contoh… dan contoh lain mungkin boleh dilupakan…

Pas mengembalikan paku buah kerasnya kepada Mahathir bahawa “Mahathirlah Melayu yang mudah lupa itu” terhadap bunga dan buah silat politiknya lebih dua dekad ke atas pembangkang di Malaysia.

Pas justeru, tidak mahu didesak dalam isu menyertai Pakatan Harapan.

Pas menganggap tidak wajar bekas perdana menteri itu memberi kata dua kepada mereka untuk menyatakan keputusan dalam tempoh sebulan.

Kini Pas membayangkan sanggup bergerak sendirian dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pas akan membentuk blok ketiga dalam arus politik negara.

Tidak berhemah lagi, Pas menegaskan parti itu tidak perlu menunggu tempoh sebulan seperti ditawarkan oleh Bersatu untuknya menyertai Harapan.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulang pendirian bahawa dasar Pas sangat jelas ia tidak akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai hubungan dengan Dap dan Amanah.

Hadi berkata, “Tak perlu tunggu sebulan dengan Bersatu. Kita sudah ada dasar. Dasar tidak kerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan Dap dan Amanah.

“Kita sudah buat keputusan, semua parti ada hubungan dengan Dap dan Amanah, kita tak ada hubungan dengan mereka,” tegas Hadi lagi.

Bahkan, Hadi keras menolak untuk berjumpa Mahathir membincangkan isu tersebut.

Betapapun, kritikan pedas buat Pas ialah, parti itu bersikap dwistandard apabila tidak menggunakan kata-kata tegas itu untuk membuat ketetapan jitu berkaitan hubungannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Hadi berhemah pula mengatakan bahawa Pas akan membuat keputusan mengenai hubungannya dengan PKR dalam Muktamar parti Islam itu 28 April akan datang di Alor Setar.

Kenapa, ada keputusan segera untuk Bersatu yang baru sahaja menjalin kerjasama poltik dengan Dap dan Amanah?

Namun, kenapa ada keputusan berhemah serba bertangguh untuk PKR yang sudah sehidup semati lama bersama Pas dahulu, pada zaman pemerintahan Mahathir ketika mereka sama-sama bersengkokol dengan Dap?

Pas tidak akan menyertai Pakatan Harapan selagi pakatan itu disertai Dap dan Parti Amanah Negara (Amanah), kata Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar selalu dilihat senada dengan Hadi bahawa Pas sudah membuat keputusan tidak akan bersama-sama parti pembangkang Harapan.

Tokoh Pas yang kebal walaupun bermulut vokal dalam parti tersebut Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, jika meletakkan garis pemutus berasaskan dasar tadi, Maka Pas wajar menarik diri segera dari Kerajaan Selangor yang diterajui PKR.

Mahfuz berkata, “sudah terang lagi bersuluh, PKR seperti Bersatu mempunyai hubungan kerjasama politik dengan Dap dan Amanah, malah telah menandatangani ‘perjanjian kerjasama politik’ untuk meranapkan kuasa politik Umno/ BN pada PRU14 nanti.”

Tambah Mahfuz, “secara prinsipnya hubungan kerjasama Pas-PKR yang sedia terjalin sudah terbatal dengan keputusan dasar yang diumumkan oleh Presiden Pas.”

Mahfuz berkata, Pas tidak perlu menunggu hingga muktamar parti itu pada April nanti untuk menentukan kedudukannya dalam hubungan kerjasama dengan PKR.

Mahfuz berkata implikasi lebih besar juga bermakna bahawa Pas perlu melepaskan semua jawatan lantikan politik dengan segera secara berprinsip.

Ini termasuk jawatan exco, ahli majlis kerajaan tempatan, jawatankuasa kemajuan keselamatan kampung (JKKK), ketua kampung, syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Mahfuz berkata, Pas perlu mengelak dari sebarang persepsi atau tanggapan serong yang menampakkan Pas masih sayang pada kebendaan dan ketamakan kuasa yang diperoleh hasil kedudukkan dalam pentadbiran Kerajaan Selangor.

Mahfiz meminta Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga naib presiden Pas dan rakan exco kerajaan negeri dari Pas melepaskan jawatan exco dan semua jawatan lantikan politik berkaitan.

Mahathir segera membaca iklim politik PRU14 bahawa akan ada pertandingan tiga penjuru dengan Pas akan membentuk blok politik ketiga.

Mahfuz menyindir bahawa sememangnya usah lagi menghabiskan masa dengan agenda pujuk rayu untuk Pas menyertai gabungan pakatan pembangkang, sebaliknya semua parti termasuk Pas perlu fokus kepada memujuk rayu rakyat.

Blok ketiga? Adakah Hadi dengan Pasnya bekerjasama dengan pakatan pembangkang seperti model Angkatan Perpaduan Ummah (APU) 1990 dahulu.

Selepas usaha Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dengan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man merintis jalan kerjasama menemui jalan buntu kini, Mahathir membayangkan Pas akan menjadi faktor pada kemenangan BN apoabila berlaku pertembungan tiga penjuru.

Mahathir berkata, “penyokong parti lawan akan berbelah bagi dan ini bermakna Pas menolong Umno atau BN mendapatkan kemenangan.

Dengan kecewa Mahathir berkata mana-mana parti, kalau bertarung tiga penjuru, maka niat tersebut adalah untuk menyokong Umno dan BN.

Bernada kesal, Mahathir berkata tidak perlu beliau merayu kepada pemimpin Pas, “kami cuba menyelesaikan kebuntuan ini dan kami bersabar… Saya tidak akan merangkak dan mencium kaki pemimpin Pas.”

Sebaliknya, berpegang pada keyakinannya, Pas masih yakin dapat mencapai prestasi lebih baik pada PRU14 kerana kajian menunjukkan mood pengundi Melayu sedang beralih kepada Pas melalui pendekatan “Budaya Politik Matang Sejahtera”.

Meskipun pertembungan tiga penjuru sudah menjadi hampir pasti, Pas yakin dengan jumlah 40 kerusi Parlimen bakal dimenangi kelak.

Pas menganggap tiada mana-mana pihak yang dapat membentuk kerajaan tanpa Pas apabila keputusan PRU14 diumumkan.

Begitulah cara Pas merumuskan serta merasionalkan kesimpulan pada perang tiga penjuru dan keputusan akhir PRU14.

Pas bahkan menuding, Mahathir tidak bersikap “sebelah tangan mahu bersalam, sebelah tangan lagi mahu menumbuk” membincangkan kerjasamanya dengan Pas.

Harapan perlu berhenti berharap ketika Pas sudah mengatakan bahawa, Pas sudah ada pendirian sendiri dan tiada orang boleh memaksa Pas.

Maka pertandingan tiga penjuru itu sudah pasti kecuali apa-apa di sebalik masih merupakan strategi politik semata-mata. – Sarawakvoice