Parti pembangkang dipenuhi  kaki kencing

Tarikh PRU ke-14 belum pun diumumkan lagi, tetapi suhu politik di Malaysia mencapai tahap kepanasan agak luar biasa sehari dua ini.

Para pemimpin parti pembangkang dan Perdana Menteri dilihat oleh rakyat saling menyerang dalam isu siapa ketua ‘de facto’ atau ketua umum parti pembangkang.

Isu siapa ketua umum pembangkang bermula apabila Datuk Zaid Ibrahim yang baru sahaja membuat pengumuman menyertai parti DAP membuat kenyataan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad ialah ketua umum parti pembangkang.

DAP ialah parti politik keempat yang disertai oleh Zaid Ibrahim yang sebelum ini pernah bersama Umno, PKR dan parti KITA. Semasa Zaid membuat pengumuman menyertai DAP, didapati ramai pemimpin parti pembangkang hadir kecuali pemimpin PKR dan Pas.

Kebelakangan ini, pemimpin PKR seperti Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali biasanya akan hadir pada majlis yang melibatkan Lim Kit Siang dan Tun Mahathir. Tetapi pada hari berkenaan, kelibat mereka tidak kelihatan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Wan Azizah sengaja tidak memenuhi undangan DAP kerana tidak merestui langkah DAP menerima bekas ahli mereka seperti Zaid Ibrahim.

Menyedari Dr Wan Azizah dan PKR tidak merestui tindakan beliau menyertai DAP, Zaid Ibrahim tidak menunggu lama untuk memperlecehkan peranan Dr Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang. Maka terhamburlah kata-kata dari mulut Zaid bahawa Tun Mahathir ialah pemimpin de facto parti pembangkang.

Dr Wan Azizah yang sebelum ini jarang-jarang menjawab sindiran terhadap beliau kali ini tangkas bangun membidas dengan menyatakan ‘sekiranya Tun Mahathir pemimpin hebat dan sangat bagus dalam menyatukan pembangkang, beliau tidak perlu datang menghadap Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara’.

Tun Mahathir dan Anwar dilaporkan bertemu selama 45 minit pada Jumaat 11 Februari di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Dr Wan Azizah mahu kredit diberikan kepada suami beliau, iaitu Anwar Ibrahim yang berjaya menyatukan parti pembangkang selama ini dan bukannya kepada Tun Mahathir seperti yang dianjurkan oleh Zaid Ibrahim.

Isu ini menjadi lebih hangat apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memasuki gelanggang perdebatan dengan menyebut bahwa Lim Kit Siang dari parti DAP yang sebagai ketua de facto parti pembangkang. Ini kerana dari segi bilangan kerusi, DAP memiliki sebanyak 37 kerusi parlimen, jauh lebih banyak daripada PKR yang hanya menguasai sebanyak 28 kerusi sahaja.

Tindakan Zaid Ibrahim yang cuba mengangkat Tun Mahathir dan  menidakkan peranan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin de facto pembangkang turut dibantah oleh pemimpin kanan DAP lain. Gobind Deo, Ahli Parlimen Puchong secara terbuka menyatakan beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Zahid Ibrahim

Hujan tidak dan angin pun tidak, tiba-tiba parti pembangkang heboh dan kecoh dengan isu pokok yang telah sekian lama menghantui mereka iaitulah siapa ‘ketua umum pembangkang’ yang boleh diterima oleh smeua parti komponen? Lebih menarik lagi isu itu ditimbulkan oleh salah seorang pemimpin mereka sendiri yang suka melompat parti.

Di negara barat, pemimpin yang ada sejarah melompat atau menukar parti diberi gelaran sebagai ‘kaki kencing’.  Antara perangai buruk ‘kaki kencing’ ini  ialah mereka akan kencing dalam khemah sendiri!

Khemah parti pembangkang sekarang sedang berladung dengan air kencing kerana terlalu ramai yang ‘kaki kencing’ yang dibawa masuk ke khemah mereka. – Sarawakvoice