Bekas YDP Majlis Perbandaran dicekup SPRM, habuan sebuah Toyota Camry dan bercuti dengan kontraktor

SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran sebuah daerah bergelar Datuk di sini kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti rasuah dan salah guna kuasa.

Suspek dipercayai melakukan kesalahan-kesalahan tersebut ketika memegang jawatan Pegawai Daerah dan YDP sebuah Majlis Perbandaran sejak September 2009 hingga Ogos lalu.

Suspek yang berusia 63 tahun dan telah bersara itu ditahan di kediamannya di Seremban kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Turut ditahan dalam operasi yang dilancarkan SPRM itu ialah tiga kontraktor yang disyaki telah dianugerahkan beberapa projek melibatkan Pejabat Daerah dan Majlis Perbandaran di mana suspek pernah bertugas.

Sumber memberitahu, pengumpulan maklumat awal oleh pasukan siasatan SPRM mendapati suspek dipercayai pernah bercuti bersama kontraktor-kontraktor tersebut di luar negara pada September 2015.

Tambahnya, maklumat yang diperolehi menunjukkan pakej percutian suspek yang juga termasuk bermain golf di Medan, Indonesia ditaja oleh kontraktor-kontraktor tersebut.

Difahamkan, sebuah kenderaan Toyota Camry juga telah dibelikan oleh kontraktor-kontraktor tersebut untuk kegunaannya.

Menurut bukti yang diperolehi, pembelian tersebut tidak dibentangkan dalam mesyuarat bajet dan perolehan.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, SPRM sedang mengenal pasti beberapa lagi individu untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, setakat ini SPRM telah merampas dokumen-dokumen daripada kesemua suspek yang dipercayai berkaitan dengan siasatan SPRM.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – Sarawakvoice