Tinggal sekitar seminggu sahaja lagi untuk pilihan raya kecil Tanjung Datu.

Berdasarkan sentimen akar umbi, rakyat  di sini masih lagi terkesan dengan pemergian mantan Ahli Dewan Undangan Negeri yang juga Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia pada 11 Januari lalu.

Justeru, tidak hairanlah, kempen dan manifesto Barisan Nasional (BN) memanfaatkan sentimen sedemikian, dan perjuangan Adenan yang terhenti.

Papan iklan dengan imej Adenan dimanfaatkan dalam strategi kempen yang setakat ini agak perlahan sebagai menghormati pemergian beliau.

Sesungguhnya, semua orang tahu komitmen Adenan untuk memajukan kawasan itu.

launch mbn03

Manifesto  17 perkara yang dilancarkan semalam jelas memperlihatkan komitmen Ketua Menteri  Datuk Amar Abang Johari Tun Openg untuk memastikan terdapat kesinambungan pembangunan di Tanjung Datu.

Adenan memang mempunyai banyak perancangan untuk kawasan itu, termasuk dari segi pelancongan dan aktiviti pertanian.

Beliau juga sedar akan peranan yang dapat dimainkan oleh pendidikan dalam mengubah nasib rakyat, justeru berusaha untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Teknikal di kawasan itu.

Abang Johari mendedahkan bahawa pelan induk pembangunan bagi kawasan terbabit telah siap dan dimurnikan sebelum dilaksanakan.

Dalam ucapannya, Ketua Menteri berkata, sewaktu berkempen pada pilihan raya negeri lalu, Adenan meminta diberi lima tahun lagi untuk memimpin Sarawak, tetapi beliau pergi lebih awal daripada itu.

Katanya, kerajaan pimpinannya akan meneruskan apa-apa yang terhenti, demi Sarawak.

Sudah tentu ini termasuk menuntut hak dan autonomi Sarawak daripada kerajaan Persekutuan.

najib abg jo02

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau akan meneruskan dasar Allahyarham Adenan yang mahu mengkaji semula hubungan dari segi perlembagaan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, berdasarkan apa yang menjadi milik rakyat Sarawak secara sah.

Dalam pertemuan dengan Kabinet Sarawak semalam, Ketua Menteri berkata, Najib bersetuju meneruskan perundingan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan dalam konteks Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri pada majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di SJK Chung Hua, KM16 Jalan Kuching-Serian malam tadi berkata, beliau tidak menghadapi masalah untuk meneruskan  perkara itu.

Sebab,  beliau percaya bahawa apabila perjanjian ditandatangani untuk membentuk sebuah negara, adalah amat penting ia harus dilihat sebagai perjanjian yang adil kepada semua pihak terlibat.

Beliau berkata dalam menerajui sebuah kerajaan yang sederhana, beliau mesti berlaku adil kepada semua, tanpa mengira agama, bangsa atau etnik seperti dituntut dalam Islam.

“Cadangan yang dibincangkan antara Petra Jaya dan Putrajaya akan dikaji secara serius kerana saya percaya bahawa jika saya menjadikan Sarawak kuat, kerajaan persekutuan juga akan menjadi kuat,” kata beliau

adenan najib

Pada Julai tahun lepas satu kenyataan bersama Najib dan Allahyarham Adenan, yang merupakan ketua menteri Sarawak kelima, menyatakan bahawa perkara berkaitan penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan Sarawak akan dibincangkan secara terperinci kemudian pada mesyuarat jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan untuk tujuan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Adenan mengadakan pertemuan dengan Najib di Putrajaya untuk membincangkan isu penurunan kuasa, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan syor-syor, Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia, dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.

Pilihan raya kecil Tanjung Datu merupakan platform terbaik bagi sekitar 10,000 pengundi untuk membuktikan kasih sayang dan kenangan mereka terhadap Adenan, dengan mengundi balu Allahyarham, Datuk Amar Jamilah Anu yang mewakili Barisan Nasional pada 18 Februari.

Meskipun hampir pasti menang, pengundi tidak harus selesa dengan tidak turun mengundi sehingga boleh menjejaskan majoriti undi yang bakal diraih. – Sarawakvoice

Jurufoto: Sahrein Maloh
Jurufoto: Sahrein Maloh