PM Najib adakan kunjungan rasmi tiga hari, termasuk ke Lundu

KUCHING: Perdana Menteri tiba di sini malam tadi untuk lawatan rasmi selama tiga hari sehingga esok.

Pesawat yang membawa Datuk Seri Najib Razak tiba sekitar 7.30 malam, dan beliau disambut oleh Ketua Menteri Datuk  Amar Abang Johari Tun Openg, Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar dan timbalannya Datuk Gerawat Gala, serta Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Morshidi Abdul Ghani.

Perdana Menteri yang telah mengunjungi Sarawak untuk lebih 50 kali mempunyai jadual yang ketat di sini, termasuk mengunjungi Lundu.

Di Lundu beliau akan merasmikan Medan Selera dan menunaikan solat Jumaat di situ.

Hari ini, beliau akan merasmikan SJK Chung Hua No.4 dan akan ke rumah Dr Sim di Jalan Wan Abdul Rahman di Kenyalang Park untuk sambutan Tahun Baharu Cina.

Pada sebelah petang beliau akan mendengar taklimat tentang kemajuan Gereja St Anne serta menghadiri Majlis Ramah-Tamah Tahun Baharu Cina di SJK Chung Hua di Batu 10, Kota Pedawan, dekat sini.

Perdana Menteri akan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas solat Jumaat. – Sarawakvoice