KUALA LUMPUR: Pas menegaskan bahawa Himpunan RUU 355 pada 18 Februari  bukan demonstrasi atau perarakan yang mencetuskan huru-hara dan gangguan kepada ketenteraman orang ramai, sebaliknya satu himpunan aman selaras dengan Akta Perhimpunan Aman.

Kata, Seketariat H355, Tuan Ibrahim Tuan Man, langkah diambil bagi mengelak sebarang pertembungan dengan pihak berkuasa dan memastikan himpunan ini berjalan dengan jayanya.

Perhimpunan itu bakal diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur, berhampiran dengan Dataran Merdeka.

Sebelum ini, pihak Sekretariat H355 telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan Dataran Merdeka sebagai lokasi Himpunan 355 tetapi telah ditolak oleh pihak DBKL.

Rombongan Sekretariat H355 yang diketuai oleh Pengarah Himpunan 355 Nasrudin Hassan Tantawi dan Setiausahanya Kamaruzaman Mohamad  telah menemui Encik Norazam Mohamed Nor Timbalan Pengarah (Hortikultur) DBKL di pejabat beliau Menara DBKL 3 Jalan Raja Abdullah Kuala Lumpur bagi membincangkan beberapa perkara penting berkait kelancaran Himpunan 355 kelak.

Pertemuan bersama ACP Mohd Sukri Kaman, OCPD Dang Wangi telah dilangsungkan bagi tujuan yang sama dan mendapat permit himpunan daripada pihak PDRM.

“Himpunan 355 ini bukan sahaja aman tetapi sarat dengan pengisian yang akan membina spiritual, mental dan fizikal secara santai melalui acara dan aktiviti menarik yang akan dipersembahkan kepada peserta himpunan. Bahkan himpunan ini dianjurkan dengan penuh semangat persaudaraan lantas memupuk kesejahteraan melalui usaha memperkasakan syariah Islamiyah,” katanya.

Himpunan 355 akan bermula seawal jam 2.30 petang, Sabtu 18 Feb 2017 sehinggalah bersurai pada jam 11.00 malam. Antara aktiviti menarik ialah:

i – Pentas Anak Muda bersama selebriti undangan dan hiburan yang Islamik

ii – Ceria Ilmiah bersama Ybhg Ustaz Azhar Idrus dan soal jawab agama

iii – Solat Asar, Maghrib dan Isyak berjamaah

iv – Solat, Munajat dan Tazkirah dipimpin oleh Sohibus Samahah Datuk Dr Zulkifli Al Bakri Mufti Wilayah Persekutuan

v – Bayan Amal Islami oleh pimpinan Jamaah Tabligh.

vi – Selawat cinta Rasul SAW pimpinan para Habaib Hafizahumullah.

vii – Pidato pimpinan masyarakat, NGO dan tokoh-tokoh negara.

viii – Deklarasi Himpunan 355

ix – Pidato Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia.

Tuan Ibrahim meminta  peserta Himpunan 355  datang awal bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. – Sarawakvoice