Tanjung Datu: Kempen perlahan dijangka jejaskan peratusan turun mengundi 18 Februari

Kempen pilihan raya kecil Tanjung Datu yang perlahan dijangka akan menjejaskan peratusan pengundi yang turun mengundi pada 18 Februari ini.

Dengan tempoh kempen hanya tinggal 10 hari, jika momentum kempen bergerak perlahan seperti sekarang, besar kemungkinan sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menyaksikan 75 peratus daripada 9,959 pengundi tidak akan tercapai. Pada pilihan raya negeri 2016, Adenan menang dengan majoriti 5,892 undi. Calon PKR hanya meraih 468 undi dan hilang wang pertaruhan.

Hari penamaan calon adalah pada 4 Februari, memberi tempoh kempen selama 14 hari, tempoh yang agak panjang dan meletihkan bagi pilihan raya kecil (PRK).

Perlahannya dan kurang agresifnya kempen adalah kerana peristiwa di sebalik pilihan raya kecil ini diadakan di Tanjung Datu.

Screen-Shot-2017-02-07-at-19.17.44

Pemergian Tan Sri Adenan Satem  sebagai Adun kawasan dan Ketua Menteri, pada 11 Januari lalu, masih dirasai. Sebagai tanda hormat, semua pihak terbabit kelihatan tidak berkempen secara agresif.

Pemimpin pusat belum lagi banyak turun ke akar umbi, tetapi dijangka momentumnya akan meningkat menjelang hari-hari terakhir, lebih-lebih lagi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turun.

Beberapa faktor menyebabkan berlakunya peratusan turun mengundi yang tidak terlalu tinggi.

Dengan keyakinan tinggi dalam kalangan pengundi bahawa calon Barisan Nasional Datuk Amar Jamilah Anu akan menang mudah dalam PKR ini, maka, pengundi tidak terangsang untuk mengundi, berbanding jika persaingan adalah sengit.

Adakah pengundi yang kini berada di luar kawasan bersedia berkorban untuk turun mengundi?

Mereka sedar bahawa apa-apa pun keputusan pilihan raya ini, tidak akan mengubah kedudukan BN di Dewan Undangan Negeri.

Jumlah kerusi dimenangi BN dalam pilihan raya negeri 7 Mei lalu ialah 72 daripada 82 kerusi.

3 P TD02

Calon PBDS Baru, Rapelson Richard Hamit dan calon Star Johnny Aput, kedua-duanya daripada parti nyamuk dijangka tidak memberi tentangan sengit.

Malah, dari awal lagi calon terbabit sedar bahawa peluang untuk menang adalah amat tipis.

Seyogia diingat, jika mereka tidak hilang wang pertaruhan, itu sudah dianggap satu pencapaian cemerlang.

Mereka bukan calon serius, tetapi bertanding dengan agenda yang kurang jelas.

Isu dan manifesto mereka memperlihatkan perkara itu. Sebahagian besar isu yang dibangkitkan telah dan sedang ditangani dengan baik oleh BN. – Sarawakvoice