Detik kesepaduan jelas kelihatan dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kepelbagaian etnik dan agama semasa musim perayaan.

Masyarakat Malaysia mempunyai sejarah yang panjang dalam meraikan perayaan tanpa mengira etnik. Konsep ‘rumah terbuka’, acara ritual balik kampung adalah antara yang tidak dapat dipisahkan dengan musim perayaan.

Semasa perayaan utama orang Melayu dan Islam seperti sambutan perayaan Aidil Fitri, orang Cina dan India mengambil kesempatan mengunjungi kawan-kawan mereka daripada etnik Melayu.

Pada  musim perayaan Tahun Baru Cina dan sambutan hari Deepavali pula, orang Melayu akan mengunjungi rumah kawan-kawan bukan Melayu mereka yang menyambutnya perayaan tersebut.

Namun begitu, terdapat juga golongan yang gagal mengesan aspek positif ini dengan bertindak menyebarkan unsur perpecahan dan elemen politik kebencian. Perkara ini dapat dilihat misalnya dengan penyebaran video palsu yang disunting semasa sambutan Hari Tahun Baru Cina 2017 yang melibatkan Perdana Menteri dan pasukan tarian singa.

Video yang diviralkan itu menunjukkan kumpulan tarian singa hanya duduk diam seperti memprotes di hadapan Datuk Seri Najib Tun Razak di rumah terbuka parti Gerakan. Versi asal video tersebut akhirnya didedahkan dan realiti sebenar menunjukkan perkara sebaliknya yang berlaku. Kempen politik murahan tidak mengenal musim, tidak menghormati tradisi masyarakat dan sensitiviti etnik.

Di sebalik kempen politik murahan tersebut, kita juga berasa bangga dengan penglibatan institusi agama Islam yang inisiatif tidak pernah dilakukan sebelum ini, iaitu dengan mengadakan rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina.

Institusi agama yang saya maksudkan itu ialah Masjid Bangsar (lihat Sunday Star, 5 Februari 2017). Mengikut kenyataan yang diberikan oleh Pengerusi Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Datuk Ibrahim Tambychik, ahli jawatankuasa masjid membuat keputusan mengadakan rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina untuk menunjukkan  bahawa masjid ialah tempat terbuka untuk semua.

msdjid cny01

Akhbar sama turut melaporkan majlis tersebut mendapat sambutan hebat daripada penduduk sekitarnya. Orang Islam dan kawan-kawan bukan Islam mereka tidak ada masalah untuk duduk dan makan di satu meja dan saling beramah mesra.

Imam masjid iaitu Ustaz Mohd Bukhai Hakah pula dilaporkan berkata beliau hanya menganggarkan antara 100 hingga 150 orang  akan hadir. Sebaliknya para hadirin yang hadir lebih 400 orang berdasarkan jumlah makanan yang disediakan.

Presiden Persatuan Penduduk Bangsar Baru, iaitu Datuk George Joseph yang turut sama hadir memeriahkan majlis tersebut mengatakan bahawa inilah kali pertama masjid di Malaysia mengadakan sambutan perayaan tahun Baru Cina.

Sekalung tahniah dan penghargaan patut kita semua rakyat Malaysia berikan kepada kepimpinan masjid dan umat Islam di Bangsar yang memulakan langkah amat bermakna dalam meluaskan tapak toleransi dan integrasi.

Kita tidak boleh selamanya berpuas hati hanya dengan memiliki detik kesepaduan.  Malaysia perlu bergerak ke arah tahun-tahun dan dekad-dekad di mana tahap kesepaduan berubah menjadi kebersatuan. – Sarawakvoice

msdjid cny02