DOHA: Qatar masih menjadi destinasi pelaburan yang lumayan dan sewajarnya syarikat Malaysia merebut peluang daripada hubungan intim Malaysia-Qatar bagi memperluaskan perniagaan mereka di negara terkaya dunia itu.

Duta Besar Malaysia ke Qatar Datuk Ahmad Jazri Mohd Johar berkata kerajaan Qatar mempunyai tahap keyakinan yang begitu tinggi terhadap syarikat Malaysia berdasarkan kepada rekod dan sejarah pencapaian syarikat Malaysia yang banyak membantu pertumbuhan pesat negara itu khususnya pembangunan infrastruktur sejak tahun 2004 hingga berada pada tahap terbaik kini.

“Kita mempunyai banyak kelebihan kerana rata-rata semua syarikat tempatan Qatar mengenali dan tahu keupayaan syarikat Malaysia.

“Malahan hubungan diplomatik kedua-dua negara juga berada pada tahap amat istimewa kerana sebagai negara Islam kita saling bantu-membantu dan bekerjasama mencapai matlamat bersama di peringkat antarabangsa iaitu di Pertubuhan Bangsa Bersatu dan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam),” katanya yang telah berkhidmat hampir lima tahun di negara itu ketika ditemui di sini.

Ahmad Jazri berkata jumlah perdagangan Malaysia-Qatar kian meningkat dan bertambah tiga kali ganda dalam tempoh 10 tahun iaitu berjumlah AS$265.5 juta pada 2006 kepada AS$842.38 juta pada 2015.

“Qatar ialah rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia di Timur Tengah, selepas UAE (Emiriah Arab Bersatu) dan Arab Saudi,” katanya dan menambah yang rakan dagangan utama Qatar ialah Jepun, Amerika Syarikat dan Jerman.

Eksport utama ke Qatar termasuklah barangan elektrik dan elektronik, mesin, kelengkapan dan peralatan, pengeluaran logam, produk kayu dan makanan diproses.

Dari Qatar, Malaysia mengimport terutamanya petroleum mentah, produk petroleum ditapis, kimia dan produk kimia dan penghasilan logam.

Ahmad Jazri berkata Qatar kini banyak memberi tumpuan kepada sektor pembinaan dan kemudahan infrastruktur di bandar raya ini terutama sebagai persediaan menjadi hos kejohanan Piala Dunia FIFA pada 2022 melibatkan pembinaan lapan buah stadium baru dan menaik taraf beberapa stadium sedia ada selain menjayakan wawasan 2030 negara itu.

Beliau berkata dalam tempoh beliau memegang jawatan sekarang, kedutaan Malaysia telah membantu kira-kira 400 syarikat Malaysia yang ingin memperkenalkan produk masing-masing melalui penganjuran pameran dagangan di negara ini.

Katanya antara sektor yang mampu menarik perhatian penduduk Qatar ialah destinasi pelancongan dan kemudahan pendidikan tinggi di Malaysia.

Qatar mempunyai 2.5 juta penduduk dan daripada jumlah itu hanya 300,000 rakyat asal manakala baki adalah warga asing berstatus penduduk tetap dengan kebanyakannya berpendapatan tinggi, katanya.

“Kita patut merebut peluang ini kerana daripada 300,000 rakyat asal Qatar, 60 peratus kalangan mereka amat kaya iaitu memiliki aset tidak kurang $100 juta Riyal Qatar seorang,” katanya merujuk kepada kekayaan negara itu yang mecatatkan pendapatan per kapita tertinggi dunia pada masa ini, melebihi AS$120,000 setahun.

Mengenai kejayaan syarikat Malaysia beroperasi di Qatar, beliau berkata kebanyakannya dalam bidang pembinaan dan kejuruteraan, perkhidmatan dan pengurusan hotel, termasuklah WCT Engineering Bhd (WCT) yang terlibat dalam beberapa projek pembinaan Bandaraya Lusail, sebuah bandar raya baharu di sini.

Katanya WCT dengan rakan kongsi, iaitu sebuah syarikat tempatan diberi kepercayaan melaksanakan projek berjumlah $1.2 bilion Riyal Qatar yang termasuk pembinaan stesen dan rangkaian sistem pengangkutan rel bawah tanah, janakuasa dan teknologi maklumat antaranya sebagai persediaan menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2022.

Ahmad Jazri berkata lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Qatar selama empat hari yang bermula hari ini, dilihat penting dalam menjamin hubungan baik kedua-dua negara serta mampu memberi kelebihan kepada syarikat Malaysia untuk terus merebut peluang ekonomi di negara itu.

“Kunjungan Timbalan Perdana Menteri ini pasti dapat membuka pintu peluang ekonomi dan pekerjaan di kalangan syarikat dan rakyat Malaysia serta membantu memudahkan rundingan kerjasama pelaburan yang ada,” katanya.

Lawatan pertama kali Ahmad Zahid ke Qatar ini adalah atas jemputan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Qatar Sheikh Abdullah bin Nasser bin Khalifa Al Thani.

Selain menghadap Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al-Thani dan kemudian membuat kunjungan ke atas Sheikh Abdullah, Ahmad Zahid juga akan melawat Pusat Kawalan Negara dan projek komuniti yang dirancang di Bandaraya Lusail, Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad serta bertemu diapsora Malaysia di Qatar.

Malaysia mula menjalin hubungan diplomatik dengan Qatar pada 1974 dan hubungan dua hala itu diperkukuhkan dengan pembukaan pejabat kedutaaan di sini pada Ogos 2004, disusuli pembukaan kedutaan Qatar di Kuala Lumpur pada September tahun yang sama.

Ahmad Jazri berkata pada masa ini terdapat 5,000 rakyat Malaysia yang menetap di Qatar dengan kebanyakannya bekerja dengan syarikat penerbangan Qatar Airways, dalam sektor pendidikan serta industri petroleum.

“Dalam tempoh saya bertugas di negara ini, yang pasti Qatar menyanjung tinggi Malaysia dan orang Qatar memang sukakan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata disebabkan hubungan rapat itu, maka ramai rakyat Malaysia memegang jawatan penting di beberapa sektor kerajaan.

“Rakyat Malaysia ada di mana-mana sektor. Kita mendapat kepercayaan dan malahan chef (tukang masak) Istana pun rakyat Malaysia,” katanya mengakhiri perbualan. Bernama